Berita Utama

Jawi mula siasat ajaran sesat Hadi Minallah

Tindakan diambil selepas Jakim lapor aktiviti kumpulan berhimpun di Langkawi

PUTRAJAYA, 10 Muharam 1444H, Isnin – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sudah mula melakukan siasatan terhadap gerakan kumpulan ajaran sesat ‘Hadi Minallah’ selepas satu laporan dibuat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Idris Ahmad berkata, tindakan itu sudah diambil selepas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membuat laporan berhubung hal berkenaan kepada Kementerian Dalam Negeri, semalam.

Namun, beliau berkata, serbuan belum dibuat kerana perlu mengikut proses undang-undang.

“Sejurus sahaja dapat maklumat termasuk alamat lengkap, pihak Jawi tidak berlengah kerana memang di bawah pihak berkuasa agama negeri.

“Bagaimanapun, kami tiada maklumat mengenai kewujudan gerakan itu yang berselindung di sebalik nama yayasan dan beralamat di sebuah premis di Kuala Lumpur,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Pertama Pemilihan Anggota Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan susulan penguatkuasaan Akta Profesion Guaman Syarie 2019, hari ini.

Pada masa sama, beliau meminta masyarakat segera melaporkan kepada pihak polis jika mengesan sebarang kegiatan aneh kumpulan tertentu yang mengeksploitasi ajaran Islam.

“Pihak jabatan agama Islam di setiap negeri juga tidak akan teragak-agak bertindak demi memastikan pegangan akidah umat Islam kekal terpelihara.

“Jakim juga mengharapkan kerjasama masyarakat sekiranya mengetahui ada benda yang pelik dalam kumpulan tertentu, jangan senyap tetapi mesti berani tampil lapor segera,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kumpulan Hadi Minnallah aktif menyebarkan dakyah sesat melalui akaun YouTube Persatuan Nur Mutiara Mutmainnah.

Berdasarkan video yang tular, seorang lelaki dari Indonesia, Wayang Hadi Kesumo atau Hadi Minnallah Aminnullah Ahmad yang dipercayai pengasas ajaran itu dilihat terlibat dalam kegiatan jelik kumpulan tersebut dalam ‘acara konvokesyennya’.

Susulan itu, Jakim membuat laporan kepada Kementerian Dalam Negeri berhubung aktiviti Hadi Minallah yang berhimpun di Langkawi, Kedah pada Jun lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button