Berita UtamaDunia

Jumlah syahid di Gaza kini 13,000

Lebih 30,000 cedera, 6,000 lagi dipercayai hilang di wilayah terkepung

GAZA, 6 Jamadilawal 1445H, Isnin – Angka kematian dalam serangan rejim Zionis di Semenanjung Gaza telah mencecah 13,000 termasuk lebih 5,500 wanita, lapor pejabat media di wilayah terkepung itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, jumlah kecederaan telah melebihi 30,000 dengan lebih 75 peratus daripada mereka terdiri daripada kanak-kanak dan wanita.

Malah jumlah individu yang hilang di seluruh wilayah itu melebihi 6,000 dan kebanyakan mereka disyaki terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Selain itu, 83 buah masjid dilaporkan musnah sepenuhnya manakala 166 lagi mengalami kerosakan serta tiga gereja turut terkesan dan menjadi sasaran dalam serangan tidak berperikemanusiaan.

Dalam pada itu lebih 43,000 unit kediaman turut musnah, manakala 225,000 yang lain juga mengalami kerosakan.

Ini menjadikan 60 peratus unit kediaman di semenanjung Gaza terjejas dalam serangan udara dan darat yang dilancarkan rejim Zionis.

Pihak berkuasa berkata, sebanyak 25 hospital dan 52 pusat kesihatan juga tidak mampu beroperasi sejak serangan dilancarkan.

Rejim pengganas pendudukan Israel juga menyasarkan 55 ambulans, manakala puluhan ambulans tidak dapat beroperasi kerana kekurangan bahan api.

Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menyatakan rejim Zionis perlu bertanggungjawab sepenuhnya dalam jenayah yang berterusan di Semenanjung Gaza.

Masyarakat antarabangsa juga perlu memainkan peranan dalam menamatkan jenayah ini, selain menyalurkan keperluan bekalan bantuan perubatan, bahan api untuk hospital. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button