Berita Utama

Majlis Peguam Syarie ditubuhkan secara rasmi hari ini

Semua Peguam Syarie WP diajak rapatkan saf, bantu MPSWP dari semasa ke semasa

PUTRAJAYA, 10 Muharam 1444H, Isnin – Mesyuarat Agong Kali Pertama Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan yang dihadiri oleh anggota-anggota Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan, diadakan hari ini.

Presiden Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan (MPSWP), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, mesyuarat tersebut telah dirasmikan pembukaannya oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad bertempat di Auditorium Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Putrajaya.

Beliau berkata, berdasarkan seksyen 49 Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019, Peguam Syarie yang hadir telah memilih 13 belas anggota Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan (MPSWP) untuk penggal kali pertama selama dua tahun.

“Sejurus pemilihan dimuktamadkan anggota MPSWP telah menetapkan pemegang jawatan bagi Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan seperti berikut iaitu Presiden, Datuk Haji Zainul Rijal Abu Bakar, Naib Presiden, Musa Awang, Setiausaha, Majdah Muda dan Bendahari, Datuk Hazizah Kassim.

“Manakala Ahli Jawatankuasa terdiri oleh Haji Fakhrul Azman Abu Hasan, Puan Syamimi Abd Rahman, Roshdan Sujak Rafie, Muhammad Amirul Ashraf A. Ghani, Mohd Tajudin Abdul Razak, Haji Abd Razak Muhidin, Haji Abdul Halim Bahari Roslizam Rahim, dan Datuk Sulaiman Abdullah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semua hal ehwal pelaksanaan mengenai Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan sebelum ini diteruskan sebagaimana sebelum pembentukan MPSWP sehinggalah ada ketetapan lain dibuat oleh MPSWP pada masa akan datang ini.

Katanya, hal ini bagi membolehkan MPSWP meneliti kesemua peruntukan undang-undang dan kaedah yang akan diwartakan dalam masa terdekat.

“Saya juga menyeru semua Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan agar merapatkan saf dan membantu MPSWP dari semasa ke semasa bagi menjayakan agenda MPSWP.

“MPSWP adalah wadah kita semua. MPSWP perlu menjadi teladan kepada MPS yang bakal diwujudkan di negeri-negeri kelak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button