Berita Utama

Malaysia perlu guna kedudukan pejuang isu Gaza: Khaled Nordin

Negara Islam, OIC digesa bertindak tegas agar kekejaman Israel tak berulang

BANGI, 10 Muharam 1444H, Isnin – Satu jalan dan pendekatan baharu mesti diambil oleh kerajaan Malaysia agar kekejaman negara haram Israel tidak berulang dengan sewenang-wenangnya.

Atas dasar itu, Malaysia perlu menggunakan kedudukannya untuk menjadi suara yang menggesa negara-negara Islam serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bertindak tegas, berani dan berprinsip dalam isu Gaza-Israel.

Menggesa perkara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, OIC mesti bertindak menjangkau kecaman dan kenyataan.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya serangan terbaru rejim Zionis dan Kerajaan Apartheid Israel ke atas wilayah Gaza yang telah meragut nyawa ramai rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak.

“Serangan ini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 44 nyawa rakyat Palestin manakala 350 orang awam turut tercedera dengan ratusan rumah dan bangunan awam seperti pejabat, kedai serta sekolah musnah teruk.

“Sekalipun Kerajaan Mesir selaku orang tengah mengusahakan satu gencatan senjata, ia dilihat sangat rapuh dan amat berpotensi untuk dilanggar oleh rejim Zionis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bahkan, katanya, sehingga saat rundingan gencatan senjata itu sedang dibincangkan, rejim Zionis terus membedil Gaza.

Menurutnya, serangan udara sedemikian bukan sahaja satu kekejaman melampau yang bertentangan dengan nilai kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa

Malah, ia seolah-olah sudah menjadi satu rutin oleh kerajaan penceroboh Israel yang sehingga kini tidak pernah menerima apa-apa kesan dan pertanggungjawaban.

“Saya menyeru kepada semua pemimpin politik dan masyarakat di Malaysia untuk melihat dan memperjuangkan isu ini dengan lebih lantang dan serius.

“Tekanan politik dan jalan diplomatik mesti disegerakan agar sebarang gencatan senjata tidak bersifat wayang dan benar-benar dipatuhi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button