Berita Utama

Pesilat Kristian bertudung kerana hormat warisan Melayu

Tiada paksaan tapi akui nampak lebih sopan, kemas dan beradab

BANGI, 10 Muharram 1444H, Isnin – Pesilat negara, Merrywati Manuil menjelaskan tindakannya memakai tudung pada penampilannya di Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 di Ayer Keroh bulan lalu, adalah bagi menghormati seni warisan orang Melayu.

Meskipun Merrywati adalah penganut agama Kristian, pemenang pingat emas bagi Kategori Solo Kreatif Wanita itu berkata, sebagai seorang bukan Melayu, beliau sangat menghormati, mengagumi dan mencintai seni silat.

Beliau berkata, walaupun pemakaian tudung tidak diwajibkan ketika pertandingan, baginya ia bukan sahaja menutup aurat bagi wanita Melayu, bahkan nampak lebih sopan, kemas dan beradab.

“Banyak yang tertanya kenapa saya pakai tudung walaupun saya Kristian. Silat adalah warisan orang-orang Melayu.

“Saya sebagai orang bukan Melayu sangat menghormati, mengagumi dan mencintai silat,” katanya seperti dilapor Metro.

Pesilat dari Sabah itu berkata, keputusannya mengenakan tudung pada pertandingan itu tidak dipaksa oleh mana-mana pihak, namun sekadar melakukan dan mengikuti apa yang dipelajarinya.

“Semestinya tiada paksaan dari mana-mana pihak. Saya belajar ilmu orang Melayu, sudah tentu saya mengikuti dan melakukan apa yang saya pelajari.

“Semoga persoalan berkaitan memakai tudung ini terjawab. Aih jangan serius bah kita kita juga baini. 

“Kalau orang Melayu ada Mat Kilau, saya orang Murut ada Aki Antanom,” katanya merujuk wira tempatan yang memimpin orang Murut menentang Syarikat Borneo Utara British (SBUB) satu ketika dahulu.

Merrywati adalah antara penyumbang tujuh emas skuad silat negara di kejohanan itu, sekali gus mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button