Berita Utama

PRU15: Kewujudan pakatan baharu parti bakal teruji

Selepas PRU14, serang menyerang politik bermula sehingga sekarang

BANGI, 10 Muharam 1444H, Isnin – Gabungan besar dengan penyertaan parti yang memiliki hala tuju antara formula dan pendekatan terbaik jika mahu mengembalikan semula kestabilan politik serta mewujudkan kerajaan ampuh seperti sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, rakyat perlu sedar kuasa pembentukan kerajaan di tangan mereka.

Oleh itu, mereka bertanggungjawab untuk memastikan wujud sebuah kerajaan teguh dan stabil selepas PRU15 nanti iaitu mempunyai kerusi majoriti dua pertiga di Parlimen dan memiliki gabungan parti yang rukun damai serta memahami aspirasi Perlembagaan, khasnya Kontrak Sosial.

“Justeru, jika kestabilan dan keharmonian politik serta kemajuan ekonomi hendak dicapai selepas PRU15, 22 juta rakyat yang layak mengundi perlu berfikir dari sekarang apa yang mereka mahu.

“Parti mana pilihan mereka dan calon bagaimana bakal dipilih,” katanya menulis di Berita Harian.

Dalam pada itu, Wan Ahmad berkata, Malaysia satu-satunya negara di dunia suasana berpolitik dan berkempen berlaku sepanjang tahun.

Sebagai contoh, sejurus berakhir saja PRU14, serang menyerang politik bermula dan tidak berhenti sehingga hari ini.

“Bagi membuat persiapan menghadapi PRU15, setiap parti selesai mengadakan mesyuarat agung, melantik kepemimpinan baharu, merancang strategi dan tindakan masing-masing.

“PRU15 bakal menjelma, maka semua pihak khasnya parti dan pengundi perlu bersiap dari sekarang. Kewujudan pakatan baharu parti untuk mencuba nasib ketika PRU15 bakal teruji nanti. Kuasa memilih di tangan rakyat namun masih perlu tawakal kerana Allah SWT juga penentu segala-galanya,” katanya.

Pautan artikel;
https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2022/08/985506/hanya-kerajaan-miliki-majoriti-kukuh-boleh-selesaikan-masalah-negara

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button