Berita UtamaDunia

Sempadan Gaza dibuka ketika gencatan senjata

Beri harapan konflik korbankan puluhan rakyat Palestin berakhir

RAFAH, 10 Muharram 1444H, Isnin – Trak membawa muatan petrol memasuki Gaza ketika gencatan senjata antara negara pengganas Israel dan pejuang Jihad Islam memberi harapan konflik yang mengorbankan puluhan rakyat Palestin berakhir.

Kenderaan sarat dengan bahan api itu dilihat memasuki sempadan di selatan Gaza, menamatkan masalah kekurangan bekalan yang teruk sehingga menyebabkan satu-satunya stesen jana kuasa di situ ditutup pada Sabtu lalu.

Ketibaan bekalan itu penting susulan pelaksanaan gencatan senjata pada jam 11.30 malam Ahad, bagi membendung pertempuran terburuk di Gaza sejak perang 11 hari tahun lalu yang memusnahkan wilayah pesisir pantai Palestin.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata, 15 kanak-kanak antara 44 yang terbunuh dalam pertempuran selama tiga hari itu.

Walaupun berlaku serangan roket menjelang gencatan senjata, tiada sebarang laporan daripada kedua-dua pihak yang melanggar perjanjian itu setakat ini.

Tentera Israel berkata, laluan di kawasan sempadan akan dibuka secara beransur-ansur pada Isnin.

“Sudah diputuskan bahawa sekatan akan ditarik balik secara beransur-ansur, yang menyaksikan rakyat Israel yang tinggal berhampiran Gaza kekal berlindung di tempat perlindungan,” katanya.

Sejak Jumaat, Israel melancarkan pengeboman udara dan artileri berat ke atas kedudukan Jihad Islam di Gaza, menyebabkan kumpulan pejuang itu melepaskan ratusan roket sebagai tindakan balas.

Selain mereka yang terbunuh, pegawai kesihatan Gaza berkata, 360 orang cedera di kawasan Palestin yang dikendalikan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas). – Agensi

Pautan berkaitan;

Gaza berdarah: PBB gesa semua pihak patuh gencatan senjata


https://ismaweb.net/2022/08/08/israel-palestin-setuju-gencatan-senjata/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button