Berita UtamaDunia

7 maut di Seoul akibat hujan lebat

Amaran krisis dinaikkan kepada tahap tertinggi

SEOUL, 11 Muharam 1444H, Selasa – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut selepas hujan lebat mengakibatkan bekalan elektrik terputus dan terowong kereta api bawah tanah tenggelam di kawasan ibu kota Korea Selatan.

Menurut Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA), di bahagian selatan Seoul hujan direkodkan lebih 100 milimeter (mm) sejam pada lewat semalam dengan beberapa kawasan lain di bandar terbabit menerima hujan sebanyak 141.5mm.

Di daerah Gangnam, beberapa bangunan dan kedai terputus bekalan elektrik serta ditenggelami air manakala kereta, bas dan stesen kereta api bawah tanam ditenggelami air menyebabkan orang ramai terkandas.

Manakala lima orang maut di Seoul dan dua lagi di wilayah Gyeonggi setakat awal pagi Selasa, yang disahkan ibu pejabat Pusat Pencegahan Bencana dan Keselamatan.

Daripada jumlah itu, empat mangsa maut akibat terperangkap dalam bangunan yang dinaiki air dan seorang lagi terkena renjatan elektrik.

Seorang lagi ditemui mati di bawah serpihan struktur perhentian bas dan seorang lagi terperangkap dalam tanah runtuh.

Sekurang-kurangnya sembilan orang cedera, sementara enam orang lagi hilang.

Susulan itu, ibu pejabat menaikkan amaran krisis kepada tahap tertinggi dan meminta pertubuhan awam dan swasta melakukan pelarasan waktu kerja masing-masing.

KMA turut mengeluarkan amaran hujan lebat di seluruh ibu negara dan kawasan metropolitan serta bahagian wilayah Gangwon dan Chungcheong.

KMA menjangkakan hujan lebat di kawasan tengah negara itu akan berterusan sekurang-kurangnya sehingga esok. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button