Berita UtamaDunia

Honduras mahu pindah kedutaan dari Baitulmaqdis ke Tel Aviv

Kembalikan penghormatan terhadap norma undang-undang antarabangsa

TEGUCIGALPA, 11 Muharam 1444H, Selasa – Honduras sedang mempertimbangkan untuk memindahkan kedutaannya di Israel kembali ke Tel Aviv, setahun selepas dipindahkan ke Baitulmaqdis, menurut Kementerian Luar.

Sebelum ini, Bekas Presiden Honduras Juan Orlando Hernandez, seorang konservatif yang menganggap dirinya sekutu rapat Washington, memindahkan kedutaan Honduras di Israel ke Baitulmaqdis pada 2021.

Amerika Syarikat telah memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis pada 2018 di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump ketika itu.

Awal tahun ini, Hernandez telah diekstradisi ke Amerika Syarikat atas tuduhan mengedar dadah.

Penggantinya, Xiomara Castro berhaluan kiri, mengambil alih jawatan pada Januari.

“Isu memindahkan kedutaan ke Tel Aviv telah pun dibincangkan dengan Presiden (Castro) dan merupakan topik yang menarik minatnya, serta mengekalkan hubungan seimbang dengan negara Arab lain dan Israel,” kata Menteri Luar Honduras, Enrique Reina dalam satu kenyataan.

Israel, yang mengilhakkan bahagian timur Baitulmaqdis selepas merampas dalam perang Timur Tengah 1967, menganggap semua Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya.

Sebaliknya, kebanyakan negara menganggap Baitulmaqdis timur sebagai wilayah yang diduduki.  

Amerika Syarikat, Honduras, Guatemala dan Kosovo adalah satu-satunya negara yang mempunyai kedutaan di Baitulmaqdis;  negara lain menempatkan kedutaannya di Tel Aviv.

Reina membincangkan isu itu dalam pertemuan dengan Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki pada hari Ahad di Bogota, tempat mereka melawat untuk upacara perasmian Presiden Colombia, Gustavo Petro.

Keputusan untuk mengembalikan kedutaan ke Tel Aviv boleh dibuat dengan tujuan mengembalikan penghormatan terhadap norma undang-undang antarabangsa yang dituntut oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kata Reina dalam kenyataan itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button