Berita Utama

Sesiapa saja boleh bertanding kerusi Parlimen Tambun

'Dalam negara demokrasi ini bukan sahaja Abdul Aziz Bari tetapi isterinya pun boleh'

IPOH,5 Zulkaedah 1443H, Ahad –  Sesiapa sahaja boleh bertanding bagi merebut kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti, kata Ahli Parlimen kawasan itu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata, ini kerana Malaysia mengamalkan sistem demokrasi.

“Abdul Aziz Bari (Ketua Pembangkang Perak) bukan mahu lawan saya seorang, tetapi semua orang dia mahu lawan.

“Dalam negara demokrasi ini bukan sahaja Abdul Aziz Bari tetapi isterinya pun boleh, tiada masalah kerana semua orang boleh bertanding,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Liga Sukan Malaysia (MSL) Daerah Kinta 2022 di X Park Sunway City, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi dari DAP pada 22 Mei lepas, yang menyatakan hasrat untuk mencabar bekas Menteri Besar Perak itu di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15 dan mempertahankan kerusi DUN Tebing Tinggi yang disandangnya ketika ini.

Ahmad Faizal turut mengingatkan bakal-bakal calon yang berhasrat untuk merampas kerusi Tambun supaya tidak berpolitik dengan memburukkan seseorang individu dengan cara tidak baik dan taksub, sehingga menjejaskan perpaduan dan sebagainya.

“Ada adab-adab di Malaysia ini yang boleh dijaga dengan baik. Berpolitik ini bukan untuk diri sendiri tetapi untuk orang ramai,” katanya yang juga ADUN Chenderiang. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button