Berita Utama

KPM tambah baik pengurusan ujian akhir murid Tingkatan 1 hingga 3

Pencapaian murid dilaporkan dua kali setahun: Radzi Jidin

KUALA LUMPUR, 11 Muharam 1444H, Selasa – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkukuh Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) bagi murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 mulai tahun ini dengan menambah baik pengurusan ujian akhir sesi akademik.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, penambahbaikan itu dilakukan melalui penyediaan soalan yang setara standardnya.

Beliau berkata, soalan tersebut disediakan oleh guru pakar dalam pembinaan item dan disimpan dalam sistem bank soalan yang dibangunkan oleh KPM.

Jelasnya, untuk tujuan pelaksanaan ujian akhir sesi akademik, pihak sekolah akan menjana set soalan daripada sistem tersebut dan ditadbir di sekolah seperti mana ujian akhir tahun sebelum ini.

Malah, panduan penskoran juga akan disediakan untuk kemudahan guru, kata Dr Mohd Radzi.

“Penambahbaikan kepada ujian akhir sesi akademik ini adalah bagi membolehkan guru dan ibu bapa bersama-sama membantu membangunkan potensi murid bermula daripada peringkat sekolah rendah.

“Dalam mencapai hasrat ini, pelaporan ujian akhir sesi akademik akan digunakan untuk membolehkan intervensi awal dilakukan bagi mengoptimumkan potensi murid. 

“Pelaporan ini bukan untuk tujuan perbandingan pencapaian antara murid atau sekolah,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan apakah sekolah dan guru sudah bersedia dalam pedagogi pengajaran, pengurusan dan penilaian murid-murid setelah peperiksaan PT3 dihapuskan.

Dalam pada itu, Dr Mohd Radzi berkata, KPM juga akan menambah baik dan memantapkan kaedah pelaporan PBD. 

Melalui kaedah ini, pencapaian murid dilaporkan secara menyeluruh sebanyak dua kali setahun, iaitu pada pertengahan dan akhir sesi akademik.

Selain itu, katanya, guru kelas dan guru mata pelajaran akan memberi ulasan dan cadangan intervensi bagi mengoptimumkan potensi murid, selain laporan akhir sesi akademik akan turut disertakan dengan pelaporan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

“Secara keseluruhan, penambahbaikan pelaporan PBS dapat memberi gambaran mengenai kemenjadian murid secara menyeluruh, komprehensif dan bermakna. 

“Pemerkasaan PBS merupakan antara pendekatan KPM untuk beralih daripada pembelajaran berorientasi peperiksaan kepada pembelajaran yang lebih menyeronokkan untuk murid,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button