Berita Utama

RUU tukar parti tak terpakai kepada Ahli Dewan Negara

Keputusan selepas ambil kira aspek isu perundangan

BANGI, 11 Muharram 1444H, Selasa – Pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti tidak terpakai ke atas Ahli Dewan Negara.

Perkara itu diputuskan selepas mengambil kira beberapa aspek membabitkan isu perundangan di peringkat negeri dan perundingan dengan Yang di-Pertuan Agong untuk Ahli Dewan Negara yang dilantik baginda.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika ini ahli Dewan Negara dibahagikan kepada dua kategori iaitu yang dilantik oleh Agong dan yang dipilih oleh negeri berdasarkan keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mewakili parti-parti politik.

“Oleh demikian, larangan bertukar parti pada peringkat ini tidak terpakai ke atas Ahli Dewan Negara mengambil kira beberapa aspek penting iaitu isu perundangan ini di peringkat negeri selain memerlukan perundingan dan perkenan Agong untuk Ahli Dewan Negara yang dilantik Agong.

“Ahli Dewan Negara dan semua pihak berkepentingan sewajarnya diperjelaskan menerusi sesi libat urus terlebih dahulu sebelum pindaan Perlembagaan berkaitan pindah parti. Jadi, kita akan bincang dengan Ahli Dewan Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti di Dewan Negara, hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, sokongan Ahli Dewan Rakyat mana-mana parti atau gabungan parti, boleh memberi implikasi kepada perubahan kerajaan dan kestabilan politik.

Oleh itu katanya, adalah lebih wajar undang-undang mengenai larangan bertukar parti hanya terpakai ke atas Ahli Dewan Rakyat.

Katanya lagi, sokongan semua Ahli Dewan Negara kepada pindaan RUU ini amat penting memandangkan keperluan fasal (3) Perkara 159 yang tertakluk kepada fasal (4) Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, yang mana suatu Rang Undang-Undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan hanya dapat diluluskan jika mendapat sokongan pada bacaan kali kedua dan bacaan kali ketiga tidak kurang dari dua pertiga atau minimum 40 dari 60 Ahli Dewan Negara.

“Pindaan undang-undang ini juga untuk memberikan mesej yang jelas kepada setiap Ahli Dewan Rakyat supaya berpegang kepada prinsip parti yang diwakili untuk melindungi mandat rakyat yang sudah memberi undi serta kepercayaan tinggi kepada ahli Dewan Rakyat ketika proses pilihan raya.

“Saya yakin RUU ini juga mampu menghentikan tindakan mana-mana pihak yang dipilih dan dilantik daripada bertukar parti tanpa sebab kukuh atau alasan munasabah, sekali gus memastikan kestabilan politik negara untuk jangka panjang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button