Dunia

Tebing Barat adakan protes serentak bantah serangan Nablus

Lancar serangan komersial, tutup semua operasi perniagaan

RAMALLAH, 11 Muharram 1444H, Selasa – Kebanyakan bandar di Tebing Barat hari ini melancarkan serangan komersial sebagai protes terhadapĀ  keganasan tentera Israel di Nablus, yang mengorbankan tiga rakyat Palestin dan lebih 40 yang lain cedera.

Semua operasi perniagaan di Nablus, Hebron, Tulkarm, Jenin, Qalqiliya, Bethlehem, Ramallah, Salfit dan Tubas ditutup.

Di Ramallah, penunjuk perasaan berarak di jalanan sebelum bergerak ke utara bandar sehingga mencetuskan pertempuran dengan tentera Israel di pusat pemeriksaan.

Pertempuran sama juga dilaporkan berlaku di Tulkarm, Nablus dan Hebron.

Beberapa kecederaan juga dilaporkan dalam tindakan keras tentera Israel terhadap protes itu.

Sementara itu, Perdana Menteri Palestin, Muhammad Shtayyeh dalam kenyataan hari ini mengutuk pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh pasukan pendudukan Israel di bandar Nablus.

Beliau berkata, ketika situasi di Gaza sedang pulih daripada pencerobohan biadab Zionis, pasukan tentera Israel menyasarkan pula serangan menggunakan bom tangan roket untuk membedil rumah orang awam di bandar lama Nablus.

“Rakyat kita menjadi sasaran keganasan terancang di Gaza, Nablus, Jenin, Hebron dan Baitulmaqdis, yang menyaksikan proses penghapusan etnik dan cubaan mencemarkan Masjid al-Aqsa serta Masjid Ibrahimi.

“Ini juga termasuk rampasan tanah di Lembah Jordan dan Masafer Yatta, semua amalan pengganas ini mesti menggerakkan hati nurani global untuk mengambil langkah bagi menghentikan pertumpahan darah dan penderitaan yang dialami rakyat selama lebih 74 tahun,” katanya.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button