Berita Utama

15,294 Kes Sulh selesai secara damai

Beri keadilan segera kepada pihak yang bertikai dengan pendekkan masa penyelesaian

PUTRAJAYA, 12 Muharram 1444H, RabuKira-kira 72 peratus atau 15,294 kes daripada 35,957 kes sulh yang didaftarkan di mahkamah syariah seluruh negara sejak 2019 hingga Jun 2022, berjaya merekodkan penyelesaian persetujuan secara baik selepas melalui prosiding sulh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata, antara kes yang menjalani posiding sulh ialah nafkah isteri, nafkah anak, idah, mut’ah, harta sepencarian, hadhanah, ganti rugi pertunangan, ganti rugi perkahwinan dan tuntutan kembali taat.

“Penyelesaian kes-kes di peringkat majlis sulh telah dapat mengurangkan lambakan kes-kes untuk dibicarakan dan dapat mengurangkan kes-kes tertunggak di mahkamah-mahkamah syariah.

“Kesan langsung daripada penyelesaian kes-kes melalui kaedah sulh ini adalah mahkamah syariah dapat memberikan keadilan segera kepada pihak-pihak yang bertikai dengan memendekkan masa penyelesaian sesuatu kes,” katanya semasa berucap di Program Out Reach Sulh, hari ini.

Idris berkata baki 28 peratus daripada jumlah kes sulh yang didaftarkan dalam tempoh itu perlu dibawa untuk perbicaraan di hadapan hakim.

Beliau berkata, perbicaraan di mahkamah syariah sewajarnya perlu dijadikan cara terakhir bagi menyelesaikan segala pertelingkahan kekeluargaan, manakala platform sulh, runding cara, mediasi atau sesi kaunseling perkahwinan haruslah diberi perhatian dan keutamaan.

Katanya, kejayaan sesuatu kes sulh amat berkait rapat dengan kemahiran dan kompetensi pegawai-pegawai sulh.

“Saya difahamkan kebanyakan pegawai sulh di mahkamah-mahkamah syariah mempunyai sijil akreditasi kemahiran mediasi sepertimana yang dikeluarkan Accord Group Australia, sijil asas mediasi oleh Pusat Mediasi Malaysia, kemahiran asas psikologi, kaunseling dan lain-lain,” katanya.

Idris berkata, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah diarahkan untuk meneruskan usaha mempertingkatkan kemahiran pegawai sulh dari semasa ke semasa.

“Saya percaya ilmu berkaitan mediasi dan sulh juga akan sentiasa berkembang sesuai dengan peredaran masa dan sudah tentu teknik-teknik penyelesaian pertikaian terkini perlu diteroka untuk dipraktis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie JKSM Datuk Dr Mohd Nai’m Mokhtar berkata, di mahkamah syariah, pihak yang memfailkan tuntutan selepas perceraian dikehendaki untuk menjalani proses sulh bagi menyelesaikan pertikaian secara baik seperti mana yang termaktub menurut Seksyen 99, Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan 1998 [Akta 585].

Beliau berkata, masih terdapat segelintir masyarakat yang enggan menghadiri prosiding tersebut atas faktor keegoan dan kejahilan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button