Berita Utama

17 tarekat masih beroperasi di N Sembilan

Hanya sebuah sahaja pusat pengamalan tarekat ditutup

SEREMBAN, 12 Muharram 1444H, Rabu – Tujuh belas tarekat masih beroperasi di Negeri Sembilan daripada 18 yang berdaftar di bawah Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005.

Pengerusi Gabungan Tareqat Berdaftar Negeri Sembilan (G-TARIQ) Dr Muhammad Firdaus Abdul Manaf berkata penutupan hanya melibatkan pusat pengamalan tarekat iaitu Pusat Pengamalan Tareqat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah di bawah pimpinan Tuan Habib Shah Firdaus Habib Ahmad di Lot 3263, Jalan Labu, Batu 8, Kampung Jawa, Labu, Seremban.

“Baki 17 tarekat yang lain masih beroperasi seperti biasa, diiktiraf oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan (JMKNNS), Jawatankuasa Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan dan Jilsah al-Turuq al-Sufiyyah Negeri Sembilan. Ini selaras dengan peruntukan Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005 dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003.

“Penutupan ini bukan bermaksud pembatalan pendaftaran tarekat ini serta-merta, tetapi bagi memastikan siasatan lanjut dilakukan dengan teliti, adil dan berhemah mengikut prosedur dan lunas undang-undang yang diperuntukkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata ia menunjukkan tindakan kawal selia tarekat yang proaktif dilakukan oleh pihak JMKNNS melalui Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005 ini berfungsi dengan baik dan berintegriti.

Beliau meminta semua pihak bertenang serta tidak menjadikan isu ini polemik mengundang perdebatan serta mencetus ketidakharmonian dalam masyarakat.

“Kita perlu merujuk kepada pihak autoriti agama apabila berhadapan dengan sebarang konflik dan kontroversi. Semua pihak seharusnya memahami bidang kuasa masing-masing tanpa menceroboh bidang kuasa pihak lain,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button