Berita Utama

APMM kesan nelayan hilang dekat perairan Pulau Redang

Seorang mangsa ditemukan selamat, lima lagi belum dapat dikesan

KUALA TERENGGANU, 12 Muharram 1444H, Rabu – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) bagi mengesan bot dinaiki enam nelayan tempatan dipercayai karam lebih kurang 10 batu nautika dari Pulau Redang, Isnin lepas.

Pengarah APMM Terengganu Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira 10 malam dan setakat ini seorang mangsa ditemukan selamat iaitu seorang lelaki berusia 31 tahun manakala lima lagi termasuk tekong masih belum dapat dikesan.

Beliau berkata bot nelayan tempatan dengan nombor pendaftaran TFA 124 itu keluar dari Jeti Pasir Puteh, Kelantan.

“Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan juga telah mengaktifkan Carilamat semalam bagi mengesan bot tersebut. Bot Maritim PERKASA 1234 digerakkan ke kawasan bot tersebut dilapor karam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, bagi Carilamat hari kedua, sektor pencarian diperluas sehingga 242 batu nautika dan beberapa aset telah diatur gerak awal pagi tadi seperti Aset Kapal Maritim (KM) REDANG, aset udara Bombardier CL415 bersama bot PERKASA 1234.

Katanya, APMM menyeru kepada semua komuniti laut dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu agar menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kuala Terengganu di talian 09-6224357. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button