Dunia

Kemarau: Perancis hadapi gelombang suhu ke-4 tahun ini

Suhu siang dijangka cecah hingga 40 darjah Celsius

PARIS, 12 Muharram 1444H, Rabu – Perancis berada di tengah-tengah gelombang haba keempat tahun ini, ketika negara itu masih berdepan kemarau terburuk dalam sejarah.

Agensi cuaca negara, Meteo France memaklumkan, gelombang haba itu bermula di selatan dan dijangka meluas ke seluruh negara serta berlarutan sehingga ke hujung minggu.

Secara keseluruhan, separuh selatan Perancis menjangkakan suhu siang mencecah sehingga 40 darjah Celsius dan tidak turun di bawah 20 darjah Celsius pada waktu malam.

Suhu tinggi itu tidak membantu anggota bomba menangani kebakaran hutan di Pergunungan Chartreuse berhampiran Alps di timur Perancis, di mana 140 penduduk telah dipindahkan pihak berkuasa.

Meteo France memberitahu, gelombang haba minggu ini bagaimanapun tidak seperti bulan lalu apabila beberapa wilayah mengalaminya memecah rekod suhu tertinggi.

Bulan lalu adalah dianggap Julai paling panas sejak pengukuran suhu bermula pada 1959.

Beberapa petani Perancis mula melihat penurunan dalam pengeluaran hasil terutamanya untuk kacang soya, bunga matahari dan jagung.

Minggu lalu, kerajaan memaklumkan bahawa lebih daripada 100 majlis perbandaran tidak dapat menyediakan air minuman melalui paip dan memerlukan bekalan dibawa oleh trak. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button