Berita Utama

Lesen vokasional p-hailing tidak sama dengan GDL

Penunggang hanya ikuti kursus singkat, tak perlu ke institut memandu

BANGI, 12 Muharram 1444H, Rabu – Lesen vokasional yang bakal diwajibkan terhadap penunggang p-hailing tidak sama dengan lesen GDL yang digunakan terhadap kenderaan komersial mengangkut barangan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, lesen vokasional berkenaan adalah dikhususkan untuk penunggang p-hailing sahaja dan berbeza dengan permohonan untuk mendapatkan GDL.

“Penunggang hanya perlu mengikuti kursus singkat beberapa jam dan tidak perlu ke institut memandu.

“Bagaimanapun nama kita belum tentukan, tetapi yang pasti lesen vokasional untuk p-hailing secara pendaftaran murah dan mudah dan hanya membabitkan pembayaran token dan moratorium akan diberikan untuk tempoh pendaftaran itu,” katanya, hari ini.

Beliau pada masa sama memberi jaminan pengambilan lesen berkenaan tidak akan membebankan rakan penunggang p-hailing.

Ka Siong juga berkata, ia tidak akan membabitkan sebarang pemeriksaan terhadap kenderaan seperti kenderaan mengangkut barangan komersial lain.

Malah, katanya, kos yang akan dikenakan juga adalah minimum dan dianggarkan tidak melebihi RM10.

Kelmarin, Ka Siong memaklumkan Rang Undang-undang (RUU) pindaan terhadap tiga peruntukan undang-undang pengangkutan jalan yang akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang, bakal menyaksikan penunggang perkhidmatan p-hailing diwajibkan memiliki lesen memandu vokasional.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button