Berita Utama

MB Johor bentang dapatan penyelarasan cuti hujung minggu kepada Sultan Ibrahim

Keputusan dibuat babit 576,691 pelajar, 1.7 juta tenaga kerja di Johor

BANGI, 12 Muharram 1444H, Rabu – Kerajaan Johor membentangkan hasil dapatan tentang penyelarasan hari cuti hujung minggu kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pembentangan hasil dapatan kepada Sultan Ibrahim bertujuan untuk mendapatkan pertimbangan baginda dalam perkara berkenaan.

“Syukur Alhamdulillah, patik telah membentangkan hasil dapatan kerajaan negeri mengenai penyelarasan cuti hari minggu untuk pertimbangan Tuanku Sultan Johor.

“Insya-Allah Tuanku akan membuat pertimbangan yang terbaik untuk rakyat Bangsa Johor. Menjunjung Kasih Tuanku,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Onn Hafiz memberitahu, penyelarasan hari cuti hujung minggu Johor akan memberi kesan kepada 93 peratus rakyat negeri ini yang majoriti merupakan pekerja sektor swasta.

Keputusan tersebut nanti juga bakal melibatkan seramai 576,691 murid dan pelajar di seluruh negeri ini.

Katanya, keputusan yang bakal dibuat akan membabitkan 576,691 pelajar dan 1.764 juta tenaga kerja di Johor dengan majoritinya, iaitu 93 peratus adalah sektor swasta.

Pada 14 Jun lalu, Onn Hafiz memaklumkan, kerajaan negeri akan mengkaji semula penetapan hari cuti hujung minggu negeri berkenaan yang ketika ini ditetapkan pada Jumaat dan Sabtu.

Kajian tersebut dibuat ekoran terdapat keluhan daripada masyarakat mengenai perbezaan hari cuti sektor swasta dan kerajaan selain bagi memastikan ibu bapa dan anak-anak dapat berehat pada hari yang sama.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button