Berita Utama

MN tidak akan terkubur cuma perlu semangat baru: Khairuddin

‘Mungkin selepas PRU, masing-masing tak lagi panas mereka kembali bersama’

BANGI, 12 Muharram 1444H, Rabu – Biar pun pemimpin UMNO dan PAS saling serang-menyerang namun tindakan berkenaan langsung tidak menjejaskan kedudukan Muafakat Nasional (MN) sehingga memberi gambaran gagasan berkenaan akan ternoktah.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, rakyat kini khususnya Melayu Islam perlu tekad membuat pilihan sama ada memilih PAS atau UMNO sekiranya berlaku pertembungan dua parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tegaskan keadaan itu sekali gus mampu mengelak berlakunya perpecahan undi.

“Biasalah bila ada serangan mesti ada pemimpin yang membalas serangan. Itu biasa, tetapi pemimpin lain mahu penyatuan maka mereka redakan keadaan.

“Jadi, tak perlu kita buat kata putus MN telah terkubur, setakat ini tak ada pemimpin sama ada dari PAS atau UMNO yang berani mengisytiharkan.

“Selagi ada pimpinan yang sayangkan MN, ia tidak akan terkubur dan akan terus relevan,” katanya dalam temu bual bersama di portal tempatan, hari ini.

Khairuddin menjelaskan biar pun masing-masing saling menyerang namun kedua-dua masih sayangkan penyatuan yang dibina bersama demi menyatukan ummah.

Beliau dalam masa sama memberi jaminan MN tidak akan terkubur sebaliknya memerlukan semangat baru.

“Mungkin selepas PRU kerana ketika itu masing-masing, UMNO dan PAS tak lagi panas, sudah dapat habuan masing-masing mereka boleh kembali bersama,” katanya.

Tegas beliau walaupun PAS dan UMNO perlu kekal bekerjasama dalam MN namun ia tidak bermaksud BERSATU pula perlu disingkirkan dalam kerjasama politik berkenaan.

“Kita faham UMNO tak mahu BERSATU, jadi PAS perlu mainkan peranan dan menjadi orang tengah dalam menangani keadaan,” katanya.

Malah, beliau berpandangan sekiranya PAS meninggalkan UMNO semata-mata mahu bersama BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN) ia tidak membawa sebarang keuntungan.

Malah, perkara tersebut telah terbukti ketika gabungan itu tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan perkara demikian adalah hak dan keputusan Presiden PAS untuk berijtihad dengan cara mereka.

Terbaharu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menuduh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang takut kehilangan banyak kerusi jika pilihan raya dipercepatkan selepas menggelar pihak yang mahu mempercepatkan PRU15 sebagai kumpulan kemaruk kuasa

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button