Berita Utama

Subsidiari KPower dapat kelulusan Terengganu laksana projek perumahan RM300 juta

Dijangka memeterai perjanjian muktamad dalam tempoh enam bulan dari tarikh kelulusan

KUALA LUMPUR, 12 Muharram 1444H, Rabu – Subsidiari milik penuh KPower Bhd, KPower Development Sdn Bhd (KDSB) telah mendapat kelulusan untuk melaksanakan pembangunan perumahan bercampur pada harga mampu milik yang bernilai RM300 juta di tanah milik kerajaan Terengganu di pusat pentadbirannya yang baharu di Kuala Nerus.

Kelulusan itu diberikan oleh kerajaan negeri melalui Pejabat Setiausaha Negeri (Bahagian Perumahan).

Projek yang terletak di Lot 100677 yang merangkumi 8.963 hektar serta Lot 100678 yang meliputi kawasan seluas 9.996 hektar di kawasan pentadbiran Kuala Nerus, terdiri daripada 1,200 unit perumahan bercampur-campur dan komersial yang berpatutan, yang akan dibangunkan secara serentak.

Menurut Kpower, pihak-pihak terbabit dijangka memeterai perjanjian muktamad dalam tempoh enam bulan dari tarikh kelulusan.

“Kami percaya cadangan nilai kami yang menggabungkan kemampanan, meningkatkan unsur air yang sedia ada dengan tema hidup yang bersemangat dan selesa dilihat amat sesuai dengan konsep Bandar Moden dan Hijau di bawah Pelan Kawasan Khas Pusat Pentadbiran Kuala Nerus,” kata Pengerusi Eksekutif Kpower,  Mustakim Mat Nun.

Sebelum ini, kerajaan Terengganu telah memutuskan untuk mengecualikan yuran pembangunan bagi projek perumahan yang berpatutan yang dibina di atas hartanah awam mulai April 2022.

Pengecualian tersebut membantu mengurangkan kos kenaikan harga bahan binaan yang dihadapi oleh pemain industri.

Kpower menambah pelaksanaan perjanjian ini dijangka akan menyumbang secara positif kepada kedudukan kewangan masa depan kumpulan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button