Berita Utama

Peluang Anwar jadi PM amat tipis

Agong sudah tentu arif apa akan berlaku pada kedaulatan negara

BANGI, 24 Safar 1442H, Isnin – Peluang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-9 amat tipis, kata pemerhati politik, Ir Lukman Al Hakim. 

Meskipun Presiden PKR itu kononnya terbukti memiliki sokongan majoriti Ahli Parlimen, kemungkinan besar Parlimen tidak dibubarkan untuk membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan. 

“Dalam keadaan kritikal gelombang COVID-19 yang semakin menggila, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mungkin tidak berbuat demikian. 

“Tambahan pula sistem dan infrastruktur negara masih belum bersedia untuk e-voting (undi dalam talian),” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Bagaimanapun, katanya, masih tidak mustahil untuk Agong melantik Anwar sebagai Perdana Menteri baharu tanpa Pilihan Raya Umum (PRU) sebagaimana yang berlaku ketika pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8, Februari lalu.

Pun begitu, beliau berkata, umum mengetahui bahawa untuk mendapatkan bilangan majoriti, Anwar perlu disokong oleh 42 Ahli Parlimen DAP bersama ‘khadam’ DAP iaitu PAN, Ahli Parlimen PKR yang setia dengan beliau serta Ahli Parlimen UMNO yang menyokong Datuk Seri Zahid Hamidi – yang kini  berhadapan pelbagai kes salah laku di mahkamah.

“Agong sudah tentu begitu arif apa akan berlaku kepada kedaulatan negara jika Anwar yang begitu mesra dengan Amerika Syarikat, DAP yang rasis dan antiperlembagaan dan para perasuah UMNO kembali berada di tampuk kuasa.

“Atas faktor-faktor inilah saya kuat merasakan bahawa Agong akan menggunakan kebijaksanaan dan peruntukan Perlembagaan negara untuk terus memastikan keharmonian, keselamatan dan kedaulatan negara terpelihara. Ini hanya dapat dilakukan jika Anwar tidak menjadi PM-9,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perkara terakhir yang boleh diputuskan Agong jika kemelut ini berterusan ialah mengisytiharkan darurat. 

“Kemungkinan ini juga tipis pada pandangan saya mengambil kira keadaan pandemik COVID-19 dan kelestarian ekonomi negara sedia ada,” katanya.

Sebaliknya, jika Anwar tidak memiliki sokongan majoriti Ahli Parlimen, tetapi sekadar menggunakan muslihat untuk menghadap Agong bagi melobi sokongan Ahli Parlimen lain, baginda boleh menggunakan hikmah dan meminta Presiden PKR itu mengusulkan undi tidak percaya kepada perdana menteri. 

“Dengan cara ini, misi Anwar akan mengambil masa lebih panjang iaitu sehingga persidangan Parlimen akan datang.

“Diharapkan ketika itu pandemik COVID-19 sudah semakin baik untuk diadakan PRU jika benar Anwar berjaya melobi Ahli-ahli Parlimen yang berkepentingan untuk menyokong beliau. Itupun jika dia berjaya,” katanya.

Mengambil kira senario-senario tersebut, Lukman berpandangan bahawa merasakan peluang Anwar menjadi PM-9 amat tipis.

“Tambahan pula beliau tampak sudah semakin dimamah usia, tidak begitu sihat, tiada agenda mempertahankan kedaulatan Melayu, Islam dan Raja serta amat lemah dalam menjayakan projek pembangunan negara

“Kedaulatan negara, keselamatan dan kesihatan rakyat berkaitan pandemik COVID-19 dan pembangunan ekonomi negara adalah keutamaan yang perlu diberikan fokus oleh kerajaan dengan sinergi dari pemimpin parti pembangkang sekarang.

“Jangan disebabkan menang sorak, kampung tergadai,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mendakwa beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam satu kenyataan media, Anwar mendakwa Agong telah memberi perkenan untuk menghadap esok (13 Oktober 2020).

Anwar berkata, pada majlis menghadap tersebut, beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang pernah disebutkan sebelum ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button