Berita Utama

Gangguan bekalan air di 397 kawasan dijangka pulih 8 malam esok

Tempoh masa pemulihan bergantung kepada lokasi, jarak premis pengguna

KUALA LUMPUR, 13 Muharam 1444H, Khamis – Bekalan air di semua 397 kawasan terjejas di tiga wilayah iaitu Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat dijangka pulih sepenuhnya, pada jam 8 malam esok.

Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, setakat 3.30 petang, Loji Rawatan Air Langat 2 (LRA Langat 2) telah mula beroperasi semula bagi membolehkan proses rawatan air mentah dimulakan.

“Bekalan air terawat akan mula disalurkan kepada para pengguna secara berperingkat-peringkat apabila sistem agihan bekalan air telah distabilkan. Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna,” menurut kenyataan itu.

Dilaporkan sejumlah 172 kawasan di Kuala Lumpur, Hulu Langat (222 kawasan) dan Petaling (tiga kawasan) mengalami gangguan bekalan air bermula 10 pagi hari ini susulan henti tugas sementara LRA Langat 2 pada 4.30 pagi tadi, berikutan insiden pencemaran bahan kimia di Sungai Semantan, Pahang akibat kejadian kemalangan di Lebuhraya Karak-Bentong, semalam.

Para pengguna disarankan untuk mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air menerusi semua medium komunikasi rasmi Air Selangor iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button