Berita Utama

GTA langkah pertama penyatuan parti politik Melayu

Gabungan berjaya bina agenda bersama angkat perjuangan bangsa Melayu

BANGI, 13 Muharram 1444H, Khamis – Hanya ahli politik yang muflis agenda sahaja mendakwa penubuhan Gerakan Tanah Air (GTA) sebagai pemecah undi.

Pemerhati politik, Ustaz Sharipudin Abdul Kadir berkata, lingkaran akal pihak berkenaan hanya berputar untuk meraih undi semata-mata.

Tegasnya, gabungan parti-parti Melayu terdiri daripada BERJASA, Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) merupakan langkah pertama ke arah menyatukan parti-parti Melayu yang lain.

“Gabungan ini berjaya membina satu agenda bersama untuk mengangkat perjuangan bangsa Melayu, mempertahankan Islam dan menolak salah laku dan penyelewengan kuasa serta harta negara.

“Ada pandangan menyatakan GTA memecahkan undi Melayu tetapi hakikatnya GTA di dalamnya BERJASA berusaha mewujudkan pemuafakatan peringkat tunjang iaitu penyatuan parti-parti Melayu perlu diutamakan.

“Punca utama adalah perpecahan parti-parti Melayu. Bila berlaku penyatuan parti-parti Melayu bermakna undi Melayu disatukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Ustaz Sharipudin berharap usaha penyatuan ini berterusan.

Katanya, bagi menyatukan parti-parti Melayu yang agak besar bermula dengan penyatuan yang kecil dahulu.

“Sebelum gabungan ini, mereka berpecah kepada beberapa parti-parti Melayu kecil sekarang sudah terbentuk gabungan antara mereka. Agenda gabungan ini jelas. Apa yang menghalang parti-parti Melayu lain untuk bersama demi keutuhan politik bangsa Melayu.

“Agenda yang perlu diutamakan sekarang ialah mengangkat perjuangan bangsa Melayu, mempertahankan maruah Islam, mempertahankan kedaulatan negara dan menolak semua salah laku yang merosakkan negara dan umat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button