Berita UtamaIstimewa

Isu LCS: Cari petualang, pulangkan duit rakyat yang dicuri

Setiap isi laporan PAC harus disiasat hingga ke akar umbi

BANGI, 13 Muharam 1444H, Khamis – Setiausaha Agung BERJASA mendesak supaya kes ketirisan pengendalian projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) seperti yang dilaporkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) disiasat. 

Ir Ts Lukman Al Hakim Mohamad berkata, kebenaran mesti ditegakkan dan ia hanya boleh dilakukan dengan siasatan menyeluruh demi mencari pelaku yang sebenar.

“Bukan sahaja dalam kes LCS ini, malah setiap isi laporan PAC itu harus diteliti dan disiasat sehingga ke akar umbi bagi mencari petualangnya.

“Pulangkan setiap sen duit rakyat yang mereka curi!,” demikian tegasnya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Lukman berpandangan, dakwaan penyelewengan dan mengaitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi seolah-olah mahu menjatuhkan yang bertindak selaku Menteri Pertahanan pada 2011.

Bagaimanapun, katanya, kebenaran tetap mesti ditegakkan dalam apa jua situasi. 

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, adalah tidak wajar untuk menyandarkan kegagalan perolehan LCS kepadanya.

Ini kerana, beliau mendakwa bukan Menteri Pertahanan ketika projek itu dianugerahkan.

Ahmad Zahid berkata, LCS dibina oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) yang merupakan anak syarikat Boustead Holdings Bhd dan pemegang saham terbesar adalah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Merujuk laporan audit dari PAC, kontrak kepada Boustead adalah mengikut Garis Panduan Permohonan Perolehan Secara Rundingan Terus bertarikh 17 April 2002.

“Secara jelas ia tiada kaitan dengan saya, malah LTAT sendiri menjadi pemegang saham terbesar dalam syarikat pembinaan LCS itu,” katanya.

Melalui laporan PAC, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada BNS bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

“Saya memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan dari April 2009 hingga Mei 2013. Jadi mana-mana pihak yang menyebabkan kelewatan pembinaannya haruslah bertanggungjawab memberikan penjelasan kepada PAC,” kata Ahmad Zahid.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau sendiri sudah bertemu dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung siasatan isu ini.

“Saya harap (siasatan diselesaikan) segera, sebab saya sudah panggil Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Peguam Negara minta untuk siasatan disegerakan.

Saya percaya sudah pun dilaksanakan siasatan dan ada beberapa fail sudah dibuka dan siap,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button