Berita Utama

Isu LCS: Siasatan SPRM mesti berpaksi keadilan sejati

Perincikan satu persatu punca harga kontrak melambung, sebab kelewatan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 13 Muharram 1444H, Khamis – Majlis Perundingan Melayu (MPM) menyokong keputusan Perdana Menteri agar siasatan berkaitan skandal kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) disegerakan.

Pengerusi Biro Politik dan Kepimpinan MPM, Shahbudin Embun menegaskan, siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mestilah berpaksi pada keadilan sejati dan melibatkan semua pihak berwajib dalam isu ini.

Ini termasuk semua penjawat awam, ahli politik, pemegang taruh iaitu kontraktor, konsultan serta syarikat yang terlibat untuk dipanggil memberi keterangan secara terperinci dan profesional, katanya.

“Berikutan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) telah pun dikeluarkan dan dibincang oleh Ahli Parlimen yang dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa PAC maka pihak rakyat semua sudah dapat menilai akan ada beberapa rumusan yang telah dibuat oleh PAC.

“… menjadikannya satu polemik politik yang tidak memberi gambaran sejelas-jelasnya berhubung individu-individu tertentu seperti yang dinamakan di dalam kertas siasatan laporan PAC tersebut.

“Lantaran itu demi menegakkan keadilan pada semua mereka mereka yang dinamakan maka siasatan SPRM ini wajib diadakan segera.

“Semoga ‘word puzzle’ terhadap kelewatan serta harga kontrak melambung naik boleh diperincikan satu persatu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, keputusan mengarahkan siasatan membuktikan bahawa kerajaan bertindak jujur, tegas serta bertanggungjawab di atas isu yang mempunyai merit serta hak kepentingan awam untuk dijalankan siasatan secara bebas, telus dan penuh berintegriti.

“Pihak kami sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih pada PM di atas keprihatinan untuk mencari ketelusan berkaitan skandal LCS kapal TLDM ini demi kesejahteraan kerajaan Keluarga Malaysia pimpinannya,” katanya lagi.

Pautan berkaitan:

https://ismaweb.net/2022/08/10/isu-lcs-mindef-akan-beri-kerjasama-penuh-kepada-badan-siasatan (https://ismaweb.net/2022/08/10/isu-lcs-mindef-akan-beri-kerjasama-penuh-kepada-badan-siasatan/)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button