Berita UtamaDunia

Mahkamah Israel arah roboh sekolah di Baitulmaqdis serta-merta

Beri kata dua, lakukan sendiri atau rejim Zionis robohkan

RAMALLAH, 13 Muharram 1444H, Khamis – Sikap kejam negara haram tiada kesudahan! Terkini Mahkamah Daerah Israel di Baitulmaqdis mengarahkan perobohan segera sebuah sekolah yang dibiayai negara Eropah di kawasan Ein Samiya berhampiran Ramallah.

Sekolah Ein Samiya yang dirasmikan pertengahan Januari lalu adalah hasil kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Palestin dan dibiayai dari Eropah.

Peguam-Peguam untuk Pusat Bantuan Guaman dan Hak Asasi Kemanusiaan telah menghantar petisyen mewakili penderma, penduduk bandar Kafr Malik di Ramallah terhadap keputusan mahkamah supaya
merobohkan sekolah berkenaan.

Bagaimanapun, mahkamah memberikan dua pilihan kepada pempetisyen sama ada merobohkan sendiri bangunan sekolah mengikut tarikh yang ditetapkan atau kerja perobohan akan dilakukan oleh jentolak milik negara haram.

Keputusan itu sekali gus memaksa penduduk membayar kos berkenaan selain denda yang mahal.

Pada Februari lalu, wakil negara Eropah melakukan lawatan di kawasan Ein Samiya dan memandang serius risiko aktiviti perobohan sekolah berkenaan yang menyediakan akses pendidikan.

Sebelum pembinaan sekolah berkenaan, kanak-kanak di kawasan tersebut terpaksa berjalan kira-kira sembilan kilometer ke sekolah yang paling dekat iaitu di Ras al Tin yang juga berdepan risiko perobohan oleh negara haram.

Perjalanan yang jauh dengan hanya berjalan kaki menyebabkan kanak-kanak Palestin terdedah dengan gangguan peneroka haram.

Ia berikutan tiada perkhidmatan awam disediakan kepada penduduk kawasan berkenaan.

Malah situasi itu juga meningkatkan risiko keciciran kepada pelajar terutama pelajar perempuan.

Sementara itu wakil negara Eropah menerusi kenyataan menggesa Zionis menghentikan segera kerja-kerja merobohkan bangunan, pengusiran serta rampasan tanah terhadap penduduk Palestin termasuk projek-projek yang dibiayai penderma.

Tindakan berterusan tersebut merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa selain menjejaskan usaha penyelesaian antara Palestin-Israel. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button