Berita UtamaDunia

Palestin perlu sokongan negara luar, rakyat makin derita dicabuli Zionis

Gesa Turki gerakkan lebih banyak sokongan dalam pendidikan

KONYA, 13 Muharram 1444H, Khamis – Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh dalam pertemuan bersama Presiden Turki, Recep Tayyib Erdogan menekankan kepentingan negara lain memberi sokongan penuh kepada Palestin selain menjadi ahli dalam Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam pertemuan pada Majlis Pembukaan Sukan Solidariti Islam edisi kelima di bandar Konya, Turki, Shtayyeh melahirkan rasa teruja ke atas kesungguhan dan sokongan Turki kepada Palestin.

Ia khususnya melibatkan Bailtulmaqdis dan Semenanjung Gaza sambil menekankan kepentingan menggerakkan lebih banyak sokongan politik dan bantuan kewangan terutama dalam bidang pendidikan.

Selain meningkatkan lebih banyak pembinaan sekolah-sekolah khusus untuk anak-anak Palestin.

Terdahulu, Shtayyeh memberikan taklimat kepada Erdogan mengenai situasi terkini di Palestin dan pencabulan serta tindakan berterusan negara haram, Israel.

Ia susulan rejim Zionis melancarkan perang secara berterusan terhadap penduduk Palestin, di kawasan tempat suci dan juga penempatan penduduk.

Beliau pada masa sama menyatakan keseriusan keadaan di wilayah yang diduduki memandangkan keadaan politik yang lemah menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk.

Ini sekali gus menjadikan penduduk Palestin terpaksa menanggung penderitaan yang berterusan.

Tegas beliau, negara-negara lain kini tidak meletakkan keutamaan dalam membantu melindungi Palestin daripada terus dicabuli tentera Zionis.

Malah, tiada pihak yang melihat keadaan di Palestin sebagai keadaan yang parah dan perlu dibantu dan sering berdepan pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Dalam pertemuan berkenaan, Perdana Menteri Palestin itu juga turut mengadakan pertemuan bersama Republik Azerbaijan, Ilham Aliyev dan turut berbincang mengenai pengukuhan kerjasama bersama, hubungan ekonomi dan pelaburan.

Malah, Shtayyeh turut menggesa Azerbaijan membuka kedutaannya di Palestin. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button