Berita Utama

Sarat calon wibawa, Gerakan Muda GTA sedia buat perubahan menuju PRU15

Tawar pemimpin profesional, kompetitif dan mampu tadbir negara lebih baik

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

PUTRAJAYA, 13 Muharam 1444H, Khamis – Gerakan Tanah Air (GTA) hari ini mengumumkan Gerakan Muda yang sarat dengan calon berwibawa dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jurucakap Sekretariat Gerakan Muda GTA, Dr Nurul Ashikin Mabahwi berkata, Gerakan Muda GTA menawarkan pemimpin profesional, kompetitif dan mampu mentadbir negara dengan lebih baik.

Tegasnya, ia tidak terhad kepada empat parti politik dan ketua sayap, tetapi ada gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk ahli profesional muda, ahli akademik dan cendekiawan, ahli perniagaan serta individu berpengaruh.

“Gerakan Muda dalam GTA sangat inklusif terhadap kepelbagaian latar belakang anak-anak muda.

“Kami yakin bahawa Gerakan Muda ini akan menjadi satu pesaing hebat dengan gerakan-gerakan muda di luar sana sebagai satu platform bagi anak-anak dan pemimpin muda dalam negara kita,” katanya pada sidang media Sekretariat Muda GTA di IOI Resort City, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pejuanita Muda Malaysia Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) berkata, pihaknya yakin akan mewarnai pentas politik tanah air dengan gerakan yang lebih agresif dan boleh menjadi idola serta ‘model survivor’ bagi generasi pelapis terutamanya anak Melayu.

“Kami yakin ini adalah masanya untuk kita mengembalikan kegemilangan bangsa Melayu dan memastikan persada politik serta kepimpinan dipenuhi oleh anak-anak muda Melayu yang lebih kompetitif, berintegriti dan menolak rasuah dalam negara kita.

“Kami juga yakin bahawa gerakan muda ini telah bersedia untuk melakukan perubahan menuju PRU15 dan ini peluang yang terbaik untuk seluruh anak muda bersama kami dalam Gerakan Muda GTA,” katanya.

Terdahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi mengumumkan penubuhan GTA yang disertai empat parti politik dan NGO iaitu Pejuang, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan BERJASA.

Beliau menegaskan, gagasan itu akan memfokus untuk bertanding di semua kerusi majoriti Melayu dan yang ditandingi UMNO khususnya di Semenanjung Malaysia.

Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2022/08/04/1gta-beri-isyarat-nasib-melayu-sebagai-bangsa-tonggak-makin-kritikal-berjasa/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button