Berita Utama

Waktu kerja 45 jam seminggu kuat kuasa 1 September

Pekerja dibenarkan bekerja ikut kesesuaian tempat, waktu dan hari

BANGI, 13 Muharram 1444H, Khamis – Pindaan Akta Kerja 1955 yang diluluskan di Parlimen pada 29 Mac 2022 akan mula berkuat kuasa pada 1 September ini .

Pindaan itu selari dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabngsa (ILO) selain bertujuan menjaga kebajikan pekerja serta memberi kelonggaran dalam waktu kerja.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, pindaan itu juga membolehkan pekerja menggunakan susunan waktu bekerja yang lebih fleksibel.

“Di bawah peraturan baharu, pekerja dibenarkan bekerja mengikut kesesuaian tempat, waktu dan hari bekerja termasuk bekerja dari rumah ketika situasi kecemasan seperti pandemik COVID-19.

“Setakat hari ini, tiada cadangan atau libat urus untuk pihak kementerian laksanakan berhubung kerja empat hari seminggu,” katanya.

Awang berkata demikian menjawab soalan Senator Nasir Hashim mengenai dasar kerajaan berhubung kerja empat hari seminggu terutama dalam sektor swasta.

Awang sebelum ini berkata, mulai 1 September juga pekerja di negara ini dibenar memohon aturan kerja fleksibel (AKF) kepada majikan masing-masing mengikut pindaan Akta Kerja 1955 .

Katanya, pekerja hanya perlu membuat surat permohonan berkenaan kepada majikan sama ada memohon perubahan waktu bekerja, hari bekerja dan perubahan tempat kerja.

“Majikan pula perlu memberi jawapan dalam tempoh 60 hari. Dan menerusi surat jawapan bertulis majikan kepada pekerja, mereka perlu nyatakan sama ada menerima permohonan atau menolak permohonan dengan alasan yang perlu dinyatakan,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, keputusan kerajaan dalam AKF itu tidak ‘mengikat’ majikan dan ia bergantung kepada kesesuaian agensi serta syarikat masing-masing.

Sementara itu , Awang menegaskan pihaknya kini bersedia membuat kajian mengenai dasar tempoh bekerja empat hari dalam seminggu seperti mula dilaksanakan di beberapa negara maju.

“Jadi majikan pun perlu ada kajian tersendiri mengenai perkara ini dan kemudian boleh dibawa dalam perbincangan bersama Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan JPPM,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button