Berita Utama

GTA alternatif terbaik rakyat mahukan perubahan pada PRU15

Parti IMAN wakil India Muslim, percaya GTA ada tarikan tersendiri

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 14 Muharam 1444H, Jumaat – Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) optimis Gerakan Tanah Air (GTA) akan menjadi alternatif terbaik buat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung IMAN, Dr Amir Hamzah Abdul Rajak percaya, GTA mempunyai tarikannya tersendiri terutama di kalangan pengundi yang menantikan tawaran baharu.

Beliau berkata, ‘nawaitu’ utama GTA semestinya untuk membentuk kerajaan yang digerakkan oleh pemimpin berwibawa.

“Kita (rakyat) mahukan satu kerajaan yang telus, yang boleh membawa kepimpinan negara jauh lebih baik daripada sebelum ini.

“Buat masa ini kita menjadi satu alternatif kepada pengundi sedia ada. Kita lihat pilihan raya sebelum ini terutama Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, jumlah pengundi jauh merosot. 

“Jadi ini satu gambaran jelas bahawa pengundi memerlukan satu tawaran baharu. Jadi GTA muncul sebagai alfernatif hendak membawa satu perubahan tanah air, mewakili semua rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata, hasrat pembentukan kerajaan adalah penting kerana melaluinya dapat GTA melaksanakan manifesto yang dijanjikan kelak.

GTA juga, katanya, sudah menyasarkan 120 kerusi di kawasan-kawasan seluruh negara untuk ditandingi pada PRU15. 

“Kita bukan sahaja melibatkan parti politik, malah GTA turut membariskan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), NGI, influencer, ahli akademik dan agamawan sebagai wadah baharu,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai keterlibatan IMAN – parti yang mewakili masyarakat India Muslim – dalam GTA, Dr Amir berkata, perbincangan bagi mewujudkan gerakan itu sudah dilakukan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lagi.

Malah, hubungan dengan parti-parti terlibat Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), BERJASA dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) sudah terjalin dan akrab sejak awal penubuhan IMAN.

Beliau berkata, objektif, visi serta misi GTA yang memperjuangkan Melayu dan Islam juga selaras dengan IMAN yang mahu membantu masyarakat India Muslim di tanah air ini.

“Kita mahu menaikkan kepimpinan Melayu Islam, namun ia tidak bermaksud GTA mengetepikan kaum lain. 

“Tunjangnya adalah Melayu Islam, tetapi pada masa kita tetap mengutamakan kaum lain seperti termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button