GTA bukan pemecah undi tapi mahu ‘bunuh’ penyelewengan jejaskan Melayu: BERJASA
Hasrat satukan Melayu Islam dan pastikan kuasa di posisi sebenar

Oleh Zuhayati Yazid
BANGI, 14 Muharram 1444H, Jumaat – Penubuhan Gerakan Tanah Air (GTA) bukan mahu memecahkan undi orang Melayu tetapi mahu memastikan kuasa penduduk Bumiputera berada di posisi sebenar.
Malah, GTA juga berhasrat membasmi parti yang mengayakan diri sendiri sehingga negara terpaksa difaraid kepada ahli-ahli mereka.
Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, ramai membuat andaian kewujudan GTA adalah untuk menggalakkan pertembungan orang Melayu namun
hakikatnya ia mahu menyatukan bangsa tersebut.
“Oleh kerana GTA baru wujud ramai menyangka kehadiran ini mampu memecah undi namun hasrat utama kami adalah ‘membunuh’ penyelewengan yang berterusan sehingga menjejaskan kedudukan orang Melayu di negara ini.
“Kalau kita berfikir cara biasa akan nampak GTA akan memecah undi Melayu hakikat perjuangan GTA adalah mengangkat perjuangan bangsa Melayu, mempertahankan maruah Islam, mempertahankan kedaulatan negara dan menolak semua salah laku yang merosakkan negara dan umat,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pelbagai pihak yang melihat penubuhan GTA dipengerusikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir hanya akan memecahkan undi selain meluaskan pertembungan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Mengulas lanjut, Ustaz Zamani menegaskan, gagasan GTA yang dibentuk kini adalah menjurus ke arah kesatuan dalam masyarakat di negara ini.
Tegasnya, GTA bukan sekadar gagasan yang didominasi empat parti tunggal tetapi menghimpunkan lebih 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tokoh korporat, golongan profesional, anak muda dan juga golongan agamawan yang mewakili kluster masing-masing.
“Ini menggambarkan setiap wakil dalam GTA akan mempunyai kuasa dan boleh membela nasib dalam kesatuan mereka sendiri.
“Ini yang membezakan antara GTA dan parti-parti lain walaupun mempunyai NGO dan wakil lain seperti tokoh akademik namun kita lihat NGO diperkuda, tokoh-tokoh nasional itu hanya boleh bercakap.
“Namun berbeza dengan GTA, kita meraikan mereka dan diberikan kerusi untuk bertanding mewakili kluster mereka sendiri,” katanya.
Katanya lagi, untuk jangka masa panjang, GTA akan merangkumi semua kluster masyarakat sekali gus membuktikan setiap golongan tidak disisihkan dan masing-masing akan memperjuangkan masa depan mereka.
“Kita akan wujudkan pelbagai lagi kluster antaranya kluster pesara, nelayan, anak-anak Felda yang akan mewakili kesatuan dan kelompok mereka,” katanya.
Menurut Ustaz Zamani, GTA akan turun bertemu masyarakat menerusi jelajah satu negara dalam masa terdekat untuk menyampaikan pesanan tentang nasib bangsa Melayu yang perlu ditentukan oleh mereka sendiri.
Pautan berkaitan;
GTA hanya pecah undi Melayu, lebih banyak pertembungan berlaku