Berita Utama

Keselamatan sistem pembayaran negara kekal terjamin: Bank Negara

Segera maklum kepada bank jika terdapat transaksi luar daripada kebiasaan

KUALA LUMPUR, 14 Muharram 1444H, Jumaat – Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengarahkan bank-bank untuk segera memaklumkan pemegang kad terbabit mengenai langkah-langkah perlindungan tambahan yang akan diambil untuk terus melindungi pengguna daripada risiko penipuan atau transaksi tanpa kebenaran.

Sambil menegaskan bahawa keselamatan sistem pembayaran negara kekal terjamin, bank pusat itu berkata, ini susulan insiden kemungkinan pencerobohan data yang dimaklumkan oleh iPay88 (M) Sdn Bhd, sebuah syarikat penyedia perkhidmatan gerbang pembayaran untuk institusi perbankan dan peniaga.

Menurutnya, bank-bank juga telah mempertingkatkan pengurusan risiko penipuan serta memantau sebarang aktiviti mencurigakan atau penipuan menggunakan kad-kad terbabit.

“BNM memandang serius sebarang insiden yang boleh menjejaskan keyakinan terhadap sistem pembayaran dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penyeliaan atau penguatkuasaan sewajarnya bagi memastikan kawalan keselamatan yang kukuh dilaksanakan, diamalkan oleh institusi kewangan serta memastikan pelanggan mendapat layanan yang adil.

“Pelanggan juga dinasihatkan untuk segera memaklumkan kepada bank mereka jika terdapat transaksi luar daripada kebiasaan atau transaksi tanpa kebenaran yang menggunakan kad mereka,” kata bank pusat itu dalam kenyataan hari ini.

Mengulas insiden itu, BNM menegaskan bahawa siasatan forensik masih dijalankan dan pencerobohan tersebut hanya berpunca serta terbatas dalam sistem pembayaran kad iPay88 dan tidak melibatkan kelemahan sistem institusi perbankan.

“Institusi kewangan di Malaysia mengamalkan kaedah pengesahan yang mantap bagi transaksi kad secara dalam talian, termasuk segera memaklumkan pemegang kad untuk pengesahan lanjut jika terdapat transaksi yang dianggap lebih berisiko.

“Ini mengurangkan risiko berlakunya penipuan transaksi. Bagi transaksi yang tidak menggunakan pengesahan, khususnya pembelian daripada peniaga di luar negara, pelanggan tidak akan dipertanggungjawabkan untuk sebarang penipuan transaksi atau tanpa kebenaran yang mungkin terjadi susulan insiden ini,” katanya.

Bagi maklumat lanjut atau aduan, orang ramai boleh menghubungi BNMTELELINK melalui 1-300-88-5465 atau https://telelink.bnm.gov.my/ – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button