Mangsa ke-48, kanak-kanak Palestin meninggal dunia angkara Israel
Keadaan mangsa kritikal selepas serangan di Gaza

BAITULMAQDIS, 14 Muharam 1444H, Jumaat – Seorang kanak-kanak perempuan Palestin meninggal dunia di hospital al-Makassed di Baitulmaqdis Timur yang diduduki semalam selepas mengalami kecederaan parah ketika pengeboman Israel di Semenanjung Gaza baru-baru ini.
Layan al-Shaer, 10, dari Khan Younis, di selatan Semenanjung Gaza telah dipindahkan ke al-Makassed pada Selasa kerana keadaan kesihatannya semakin merosot akibat kecederaan di kepala.
Dia menjadi mangsa ke-48 dalam serangan tentera Israel di Semenanjung Gaza, yang termasuk empat wanita dan 17 kanak-kanak.
Sementara itu, 360 lagi rakyat Palestin termasuk 151 kanak-kanak cedera bahkan ada yang berisiko kehilangan nyawa.
Pada 5 Ogos lalu, Israel melancarkan serangan tiga hari ke atas Gaza sebelum gencatan senjata yang dibantu oleh Mesir berkuat kuasa pada 7 Ogos pada jam 11:30 malam waktu tempatan.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, sejak awal tahun, tentera Israel telah membunuh lebih 130 rakyat Palestin termasuk 34 kanak-kanak. – Agensi