Berita Utama

Meski masih ‘muda’ jangan pandang remeh pada PN, GTA

Pendedahan status LCS beri kesan kepada momentum BN

BANGI, 14 Muharram 1444H, Jumaat – Perkembangan politik semasa dilihat tidak memihak kepada Barisan Nasional (BN) apabila persaingan politik gabungan di negara ini semakin bertambah berbanding sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Misalnya, pada masa ini terdapat tiga gabungan politik besar bakal mencabar dan memberi saingan sengit dalam PRU15, iaitu Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA), kata Dr Mohammad Tawfik Yaakub.

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik, Universiti Malaya (UM) itu berkata, gabungan parti politik ini tidak boleh dipandang remeh oleh BN meskipun usia PN dan GTA masih muda.

Ini kerana terdapat pemimpin politik dalam gabungan itu yang mampu menang semula dalam PRU15 atas faktor ketokohan, pengaruh kubu kuat serta isu semasa.

“Beberapa nama besar seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dinilai mampu memenangi semula kerusi ditandingi di kawasan masing-masing, iaitu Parlimen Langkawi, Pagoh dan Marang dalam PRU15.

“Meskipun ketokohan ketiga-tiga pemimpin politik ini mampu mempengaruhi kemenangan semula dalam pilihan raya, BN boleh menghalangnya dengan menyelesaikan isu panas khususnya kegagalan projek LCS dengan segera,” katanya dalam artikel disiarkan Berita Harian.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pendedahan status projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) memberi kesan kepada momentum BN sekiranya PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat dan menyukarkan usaha mencapai kemenangan besar seperti di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini.

Justeru, Dr Tawfik menyarankan strategi dan perancangan BN untuk mendominasi semula kerajaan menerusi desakan pilihan raya awal dipertimbangkan semula dan ditangguhkan serta-merta kerana persekitaran politik hari ini secara tiba-tiba tidak lagi memihak kepada BN.

“Oleh itu, BN memerlukan lebih banyak masa untuk memulihkan semula keyakinan dan persepsi rakyat khususnya mengenai isu perolehan kapal LCS.

“BN juga perlu sedar sekiranya isu ini tidak diselesaikan dengan baik dan segera, parti pembangkang akan terus menjadikan isu kegagalan projek LCS sebagai bahan kempen utama mereka dalam PRU15 nanti.

“Situasi sama pernah berlaku ketika kempen PRU14 apabila parti pembangkang berjaya mengetengahkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai bahan kempen dan menjelajah ke seluruh pelosok negara untuk menewaskan BN dipimpin Najib,” katanya.

Pautan artikel asal;
https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2022/08/987107/projek-kapal-tempur-tak-siap-jejas-momentum-bn-hadapi-pru-15

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button