Berita Utama

Parti Melayu berpecah, PH berpotensi menang PRU15: PAS

Perlu wujudkan ‘Kerusi Muafakat Nasional’ demi elak dominasi PH

BANGI, 14 Muharram 1444H, Jumaat – PAS disaran mencari jalan mewujudkan ‘Kerusi Muafakat Nasional’ bersama UMNO-Barisan Nasional (BN) bagi mengelak Pakatan Harapan (PH) mendominasi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki berkata, hanya Muafakat Nasional (MN) dapat menyekat kemaraan PH yang dipercayai akan memperoleh kemenangan besar sekiranya keadaan dibiarkan tanpa sebarang usaha.

“Ketika ini semua parti Melayu berpecah-belah dalam pelbagai gabungan, termasuk BN, Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA).

“Dengan wujudnya tiga gabungan BN, PN dan GTA kali ini, risiko untuk PH menang pasti lebih tinggi.

“Jadi melalui kaedah ini sahaja iaitu melalui MN, kita mampu menyekat kemenangan PH walaupun harapan untuk membentuk kerjasama PAS-UMNO seperti termaktub dalam piagam dulu masih jauh untuk dicapai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan, usaha menghalang kemenangan PH wajib dilakukan segera dengan menerokai potensi MN dalam mencapai kejayaan.

Tegasnya, di Semenanjung Malaysia, terdapat 27 kerusi yang sangat berisiko untuk jatuh ke tangan PH sekiranya UMNO dan PAS bertembung.

Dalam situasi itu, katanya, UMNO dan PAS tidak boleh bertembung di kerusi berkenaan dan kedua-dua parti perlu mencapai persefahaman.

Katanya, kawasan berkenaan boleh dinamakan sebagai ‘kerusi MN’ dan kedua-dua parti kembali ke meja rundingan untuk mengelak berlaku pertembungan semasa sendiri.

“Namun adalah lebih baik sekiranya di kerusi-kerusi MN ini, UMNO dan PAS boleh membentuk jentera bersama supaya calon mereka boleh menang selesa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button