Berita Utama

SPRM kenal pasti tiada penyelewengan projek Musang King di Baling

Teliti kesemua minit mesyuarat EXCO Kedah berkaitan projek terbabit

BANGI, 14 Muharram 1444H, Jumaat – Tidak wujud unsur-unsur penyelewengan dalam keputusan kerajaan Kedah melaksanakan projek tanaman durian Musang King di Gunung Inas, Baling.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, pihaknya meneliti kesemua minit mesyuarat EXCO Kerajaan Kedah berkaitan projek terbabit dan mengambil dokumen berkenaan sebelum ini.

“Hasil penelitian awal ke atas semua dokumen berkenaan tidak mengesan sebarang unsur salah laku atau penyelewengan yang boleh diambil tindakan mengikut bidang kuasa SPRM.

“Bagaimanapun, kita tidak tolak kemungkinan meneruskan siasatan lanjut berkaitan projek ladang durian ini, jika mendapat maklumat baharu yang boleh dikaitkan dengan bidang kuasa kami.

“Setakat ini, tidak ada laporan rasmi dibuat kepada SPRM berkaitan kes ini. Sebaliknya, kita yang mengambil inisiatif memulakan siasatan, termasuk ke Wisma Darul Aman bagi mendapatkan dokumen berkaitan,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Pada 10 Julai lalu, SPRM Kedah memulakan siasatan bagi melihat kemungkinan berlaku perbuatan salah laku sehingga menyebabkan berlakunya bencana banjir lumpur dan aliran puing di Kampung Iboi pada 4 Julai lalu, yang mengorbankan tiga nyawa selain ratusan penduduk terjejas.

Berikutan itu, pegawai penyiasat dihantar meninjau keadaan bencana, selain turut masuk ke Wisma Darul Aman bagi mendapatkan minit Mesyuarat EXCO Kerajaan Kedah terdahulu berkaitan pelaksanaan projek ladang durian berkenaan.

Sharom menjelas, pihaknya merujuk laporan yang dibuat Pasukan Khas Siasatan Bencana Tragedi Baling 2022 yang menyentuh kejadian berkenaan secara lebih menyeluruh.

Tegas beliau, laporan yang dibentangkan lengkap dan pihaknya membuat rujukan ke atasnya bagi melihat sebarang perkara yang boleh dikaitkan tetapi setakat ini tidak ada.

“Disebabkan itu, kita menangguh dahulu siasatan sehingga ada maklumat baharu diterima.

“Jika ada maklumat baharu, kita boleh mulakan siasatan semula, namun ia perlu dilakukan mengikut bidang kuasa SPRM,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button