Dunia

Virus Langya pula dikesan di China

35 kes direkodkan di timur China sejak 2018: Laporan

BEIJING, 14 Muharram 1444H, Jumaat – Penyelidik sedang memantau virus baharu yang dikenal pasti di China, didakwa transmisi jangkitan dari haiwan ke manusia.

Walaupun lebih 35 kes telah direkodkan di timur China sejak virus itu mula dikesan pada akhir 2018, ia hanya dikenal pasti secara rasmi minggu ini.

Kes henipavirus Langya (LayV) dilaporkan kebanyakannya dalam kalangan petani di wilayah timur Shandong dan Henan antara Disember 2018 dan Mei 2021, tanpa kematian setakat ini.

Pakar yang mengenal pasti virus itu berkata, LayV adalah sebahagian daripada genus virus yang dipanggil henipavirus – biasanya berada dalam kelawar buah -, menurut laporan New Scientist yang berpangkalan di United Kingdom (UK).

Laporan itu berkata, ia adalah genus sama termasuk virus Hendra – yang pertama kali dikenal pasti di Australia pada 1994 dan diketahui menjangkiti manusia serta kuda.

Virus Nipah, pertama kali dikesan pada 1999 di Malaysia juga adalah sebahagian daripada genus itu, katanya.

Kedua-dua virus mempunyai kadar kematian yang tinggi pada manusia.

Laporan itu berkata, individu yang dijangkiti LayV akan mempunyai simptom seperti demam, keletihan, batuk, sakit otot, loya dan sakit kepala.

Virus LayV boleh dikenal pasti menggunakan sampel calitan kerongkong daripada individu yang mengalami demam dan sejarah terdedah dengan haiwan.

Virus ini juga ditemui pada anjing (lima peratus) dan dua peratus pada kambing.

Setakat ini, para penyelidik tidak menemui bukti penularan dari manusia ke manusia.

Bagi sembilan individu yang dijangkiti, pengesanan kontak dengan 15 ahli keluarga mereka mendedahkan tiada penularan LayV, kata laporan.

“Ini menunjukkan bahawa virus itu tidak menular dari manusia ke manusia, sebaliknya haiwan ke manusia.

“Namun begitu, saiz sampel terlalu kecil untuk menolak transmisi jangkitan manusia ke manusia,” kata laporan.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button