Berita Utama

PdPR disambung hingga 31 Ogos: KPM

Sekolah dibuka berperingkat secara semuka mulai 1 September

BANGI, 7 Zulhijjah 1442H, Sabtu – Sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan sehingga 31 Ogos 2021, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

Kementerian berkata, ketetapan berkenaan terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

Katanya, keputusan mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“KPM sentiasa bekerjasama rapat dengan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi memastikan kadar vaksinasi dalam kalangan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan di sekolah dapat terus ditingkatkan.

“Sehingga 16 Julai 2021, seramai 253,366 orang guru dan pentadbir (61.30 peratus) serta 10,876 kakitangan sokongan (46.33 peratus) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengambil kira kadar vaksinasi, KPM berkata, pihaknya membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September 2021.

“Namun begitu, KPM akan terus mengambil kira penilaian risiko oleh KKM dan MKN bagi melihat sekiranya terdapat keperluan untuk membuat perubahan terhadap tarikh tersebut.

“Sebarang perubahan akan dimaklumkan lebih awal. KPM akan memaklumkan perincian lanjut mengenai pembukaan bagi sesi PdP secara bersemuka selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button