Berita Utama

Kelengkapan LCS boleh digunakan dan tidak usang: BNS

BNS nafi dakwaan yang telah dibuat oleh PAC

BANGI, 15 Muharam 1444H, Sabtu – Kelengkapan kapal tempur pesisir (LCS) yang bernilai RM1.7 billion dan dibeli secara pukal kini ditempatkan di stor Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) akan digunakan sepenuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutif BNS, Azhar Jumaat menafikan dakwaan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Woh Kah Woh sambil menjelaskan semua kelengkapan berada dalam keadaan baik dan terjaga.

“Tidak timbul isu kelengkapan itu tidak boleh digunakan seperti didakwa, kesemua kelengkapan itu disimpan untuk tempoh yang lama dan memerlukan pemeliharaan dan penyelenggaraan semasa dalam simpanan.

“Semua peralatan itu diperakui tidak usang serta boleh digunakan 25 tahun lagi dari sekarang,” katanya seperti dipetik portal tempatan, hari ini.

Terdahulu kira-kira 48 pengamal media dari pelbagai agensi dibawa melawat tapak pembinaan LCS di Lumut.

Semalam, Kah Woh menerusi kenyataan berkongsi kisah sedih ketika membuat lawatan ke BNS, 11 Disember lalu.

Kah Woh menjelaskan ketika menyertai rombongan bersama Kementerian Pertahanan, Tentera Laut Diraja Malaysia, Boustead Heavy Industries Corporation Bhd dan BNS ke stor, didapati terdapat 13 gudang menyimpan peralatan LCS dan lapan lagi BNS General Store yang mempunyai campuran LCS dan peralatan am.

Malah, pihaknya dimaklumkan jumlah nilai peralatan dalam simpanan ialah RM1,757,791,266.02 dengan lebih kurang 15 peratus daripadanya telah usang sehingga melibatkan kerugian RM263,668,689.90.

Projek pembinaan LCS merupakan perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan dengan kos keseluruhan RM9 bilion dan kontrak projek berkenaan yang bermula 2013 itu dijangka siap dalam masa 10 tahun.

Minggu lalu, PAC dalam laporannya menyatakan kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada BNS, yang dilaksanakan secara runding terus, namun setakat ini tiada kapal diterima.

Beliau pada masa sama turut mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.

Sementara itu, PAC melalui laporannya mengumumkan sembilan rumusannya sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam LCS itu, selain mengesyorkan tujuh langkah.

Ia termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan terhadap dapatan laporan PAC itu, Laporan Audit Forensik dan laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button