Berita UtamaDunia

Organ penting tahanan Palestin di penjara Israel rosak teruk

Khalil Awawdeh dipindahkan ke pusat perubatan Tel Aviv

RAMLEH, 15 Muharam 1444H, Sabtu – Organ-organ penting tahanan Palestin, Khalil Awawdeh kini rosak teruk, kira-kira lima bulan selepas mogok lapar dilakukan sebagai protes terhadap penahanan pentadbirannya oleh Israel.

Media tempatan melaporkan bahawa Awawdeh, 40, telah dipindahkan ke pusat perubatan Israel di Tel Aviv, berikutan kesihatannya yang merosot.

Peguam dan ahli keluarganya berkata, dia mengalami kemerosotan kognitif secara mendadak dan teruk serta berisiko mati pada bila-bila masa, lapor Rangkaian Solidariti Tahanan Palestin Samidoun.

Peguam, Ahlam Haddad berkata, anak guamnya menyediakan mesej untuknya yang menyatakan: “Saya mogok untuk kebebasan dan saya telah banyak berkorban untuk keperluan yang paling disayangi dan paling kuat, kebebasan.. Pantang makan saya bukanlah penolakan kehidupan, melainkan penolakan terhadap belenggu.”  

Menurut peguam itu, tahanan berkenaan tidak boleh menyebut nama empat anak perempuannya.

Walaupun kesihatan Awawdeh merosot, mahkamah Israel yang bertanggungjawab bagi kes itu tidak dijadualkan untuk bersidang semula dan mendengar keterangan perubatan sehingga Ahad.

Sementara itu, isteri Awawdeh menyelar kecuaian mahkamah Israel, dengan menyatakan bahawa keadaan kesihatan tahanan itu tidak boleh diterima.

Bercakap dengan Al Mayadeen, Dalal Awawdeh berkata, keluarga itu telah dihalang daripada melakukan lawatan selama kira-kira lapan bulan. 

Dia berkata tahanan itu kini tidak boleh bercakap atau bergerak.

“Mogok lapar yang berpanjangan telah menyebabkan penurunan berat badan Awawdeh yang ketara di mana beratnya kini kurang daripada 35 kilogram”, kata isterinya, sambil menambah bahawa dia hampir kehilangan penglihatan.

Terdahulu, Ketua Kelab Tahanan Palestin, Qadura Fares berkata, Awawdeh ‘boleh mati pada bila-bila masa.’

Seorang pegawai Palestin berkata, pihak berkuasa penjara Israel mengancam untuk menafikan hak tahanan Palestin mendapat rawatan perubatan jika mereka tidak menghentikan mogok lapar.

Awawdeh ditangkap pada 27 Disember 2021, di bawah tahanan pentadbiran. 

Dia melancarkan mogok lapar selama 111 hari sebelum menggantungnya berikutan janji pentadbiran untuk membebaskannya. 

Selepas janji-janji itu ternyata palsu, dia meneruskan mogok dan menuntut pembebasan.

Israel mengeluarkan perintah memperbaharui penahanan pentadbiran Awawdeh untuk tempoh empat bulan dari 26 Jun hingga 25 Oktober walaupun keadaan kesihatannya sangat kritikal. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button