Berita Utama

Polis terima dua laporan kes buli di MRSM Kuantan

Sedang siasat setiap sudut kes berdasarkan laporan dibuat: Polis

BANGI, 15 Muharam 1444H, Sabtu – Polis Pahang mengesahkan menerima dua laporan berhubung kes buli membabitkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, laporan tersebut dibuat ibu kepada pelajar terbabit dan warden sekolah berkenaan.

“Kita sedang menyiasat setiap sudut kes ini berdasarkan laporan dibuat. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan atas kesalahan perbuatan khianat.

“Laporan polis telah dibuat oleh warden, dan si pengadu seperti dalam media sosial, pihak polis sedang menyiasat setiap sudut berkaitan kes berkaitan,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Semalam, tular seorang ibu kepada pelajar MRSM berkenaan, Nazrah Mohamed mendakwa, anaknya menjadi mangsa buli di sekolah namun tiada tindakan yang diambil oleh pengurusan terbabit.

Menerusi hantaran di Facebook wanita berkenaan mendakwa berlaku perbuatan khianat dan budaya gangsterisme di sekolah tersebut sehingga memberi kesan kepada anak perempuannya berusia 14 tahun.

Turut dikongsi di Facebooknya adalah bahan bukti termasuk nota, baju anaknya yang diconteng serta kesan rambut yang digunting ketika sedang tidur.

Kejadian berkenaan mendapat perhatian daripada pelbagai pihak sehingga memperoleh 22,00 perkongsian dan 10,000 komen.

Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2022/08/13/kembalikan-hak-guru-disiplin-merotan-elak-kes-buli/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button