Berita Utama

Terkejut LCS telan belanja RM9 bilion, apakah mereka tak ingat tuhan?

Pengkhianat, penipu, perasuah, penzalim semuanya sesuai dengan mereka

BANGI, 15 Muharam 1444H, Sabtu – Pendedahan demi pendedahan berkenaan isu Kapal Tempur Pesisir (LCS) bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sehari dua ini benar-benar mengganggu fikiran. 

Demikian kata Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bukan sedikit jumlah yang telah dibelanjakan kerajaan namun seperti biasa hasilnya entah ke mana. 

“Saya tak tergambar bagaimana mereka yang terlibat sanggup melakukan pengkhianatan sebegitu besar tanpa rasa bersalah. 

“Bukan sejuta atau dua juta tetapi RM9 bilion! Rasa nak pengsan mendengarnya. 

“Apakah mereka ini tidak ingat tuhan? Apakah sistem yang ada hari ini sangat ampuh sehingga begitu senang duit rakyat hilang? Manusia jenis apakah mereka ini atau memang mereka ini bukan manusia? 

“Sebutlah apa istilah yang saudara mahu; pengkhianat, penipu, perasuah, penzalim – saya rasa semuanya sesuai dengan mereka,” katanya.

Lebih dikesalkan kini, katanya lagi, apabila masing-masing mula menuding jari kepada orang lain. 

“Orang itu kata orang ini yang buat, parti itu kata parti sana yang buat, kerajaan sana kata kerajaan dulu yang lakukan. 

“Pening rakyat mendegarnya. Memang benarlah apa sahabat saya katakan, hasil kajian yang beliau lakukan mengenai sentimen rakyat terhadap politik hampir 90 peratus rakyat sudah benci dengan orang politik,” katanya.

Namun, beliau memetik kata seorang penceramah terkenal yang menyatakan keadaan pemimpin yang ada sekarang ini melambangkan keadaan rakyat. 

“Kalau yang di atas itu rosak bermakna rakyat juga rosak sebab rakyat yang memilih mereka. Jadi jangan kita salahkan pemimpin tetapi salahkan diri kita sendiri yang memilih mereka. 

“Persoalannya; bersediakan rakyat untuk berubah? Saudara-saudari renunglah sedalam-dalamnya,” katanya.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, isu penyelewengan LCS menyebabkan kerugian wang rakyat sebanyak RM9 bilion.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, keadaan itu turut merencatkan keupayaan TLDM untuk mengawal perairan negara berikutan kegagalan syarikat yang dianugerah kontrak pembinaan kapal LCS secara rundingan terus untuk menyiapkan projek berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button