Berita Utama

Tiada dominasi, keputusan dalam GTA hasil suara majoriti: BERJASA

Tun M dengar pandangan, suara semua demi selamatkan Bumiputera

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 15 Muharam 1444H, Sabtu – BERJASA menolak dakwaan penyertaannya dalam Gerakan Tanah Air (GTA) semata-mata mahu menumpang populariti Tun Dr Mahathir Mohamad.

Presidennya, Ustaz Haji Zamani Ibrahim menjelaskan, perkara itu sama sekali tidak wujud kerana GTA merupakan gabungan empat parti dan lebih 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain tokoh korporat serta individu yang masing-masing mempunyai nama.

“Kami di sini tidak menumpang sesiapa kerana setiap daripada parti yang ada telah lama bertapak di politik negara air, selain penyertaan NGO yang masing-masing membuat kebolehan tersendiri serta mewakili kluster sendiri.

“Jadi tidak timbul soal mahu menumpang populariti Tun M sebaliknya setiap keputusan yang dibuat dalam GTA adalah hasil suara majoriti hasil perbincangan semua pihak.

“Ini merupakan dakwaan yang cuba menjatuhkan reputasi GTA yang dilihat mendapat sambutan hebat terutama dalam golongan profesional dan yang sayangkan tanah air sendiri.

“Walaupun Tun M sebagai pengerusi namun dia juga ada masanya turut mendengar pandangan dan suara semua, kami bergerak bersama demi menyelamatkan penduduk Bumiputera di negara ini,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan yang menyifatkan kerjasama dalam GTA dibuat hanya mahu menumpang populariti Dr Mahathir.

Kata Ustaz Zamani, gabungan mantap parti-parti Melayu serta sokongan NGO adalah pendorong ke arah menyatukan parti-parti Melayu yang lain.

Beliau pada masa sama melahirkan keyakinan gabungan berkenaan mampu membina satu agenda bersama iaitu mengangkat perjuangan bangsa Melayu.

Katanya lagi, pelancaran Gerakan Muda Gerakan Tanah Air (GTA) yang didominasi profesional muda jelas membawa gambaran sokongan waja golongan tersebut yang mahukan perubahan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button