Berita Utama

Tiga lagi suspek serang petugas, pelajar tahfiz ditahan

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan ceroboh kawasan

KUANTAN, 15 Muharam 1444H, Sabtu – Polis menahan tiga lagi lelaki yang disyaki terlibat menyerang petugas dan pelajar sebuah pusat tahfiz di Lipis yang tular di media sosial sejak semalam, menjadikan semua lima suspek berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata, dua suspek ditahan di Terengganu iaitu seorang di sebuah rumah di Kuala Nerus sekitar 1 pagi tadi, disusuli suspek seterusnya di Kuala Terengganu, kira-kira sejam kemudian.

Suspek terakhir pula ditahan di sebuah rumah di Felda Lepar Utara, Jerantut pada 8 pagi tadi.

“Pemeriksaan awal mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis heroin, selain dua daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Semalam, Azli memaklumkan polis berjaya menahan dua lelaki di sekitar Damak, Jerantut bagi membantu siasatan kes serangan yang didakwa berlaku pada 5.10 petang, Khamis lepas sehingga menyebabkan seorang tenaga pengajar cedera di mata kanan dan menerima empat jahitan.

Kejadian yang didakwa berpunca daripada perasaan tidak berpuas hati dengan bayaran makanan yang dikenakan di pusat tahfiz itu, juga dikatakan turut menyebabkan seorang pelajar lelaki sakit badan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 448 kanun sama kerana menceroboh kawasan.-Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button