Berita UtamaDunia

Qatar, UAE buka semula kedutaan selepas krisis diplomatik tamat

Kedua-dua negara sasar capai tahap kerjasama tertinggi

DOHA, 28 Ramadan 1444H, Rabu – Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sedang berusaha untuk membuka semula kedutaannya – setelah lebih dua tahun ditutup – sejak krisis diplomatik pada 2017.

Langkah itu dibuat sejak UAE, Arab Saudi, Bahrain dan Mesir menarik balik sekatan ke atas Qatar, sekali gus menamatkan konflik yang berlarutan selama lebih tiga tahun.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majid al-Ansari dalam taklimat akhbar di Doha pada Selasa berkata, kedua-dua pihak menyasarkan untuk segera mencapai ‘tahap kerjasama tertinggi.’

“Mengenai pembukaan kedutaan antara kedua-dua negara, saya fikir ia akan diadakan dalam beberapa minggu akan datang. 

“Jawatankuasa teknikal kini melakukan kerja mereka dalam konteks ini, dan dijangkakan akan ada lawatan pertukaran untuk mempertimbang prosedur yang kami perlukan untuk membuka semula kedutaan,” katanya.

Pejabat Media Antarabangsa Qatar juga berkata, usaha sedang dijalankan antara pasukannya dan UAE untuk membuka semula kedutaan masing-masing secepat mungkin.

Katanya, tarikh tepat pembukaan kedutaan itu akan diumumkan selepas proses berkenaan dimuktamad.

Perjanjian untuk menamatkan sekatan politik dan ekonomi selama tiga setengah tahun terhadap Qatar oleh Arab Saudi, Mesir, UAE dan Bahrain berlaku pada Januari 2021.

Minggu lalu, Qatar dan Bahrain mencapai persetujuan untuk memulihkan hubungan diplomatik mereka, berikutan pertelingkahan yang berpanjangan antara kedua-dua negara Teluk Parsi itu.

Kementerian luar negara kedua-dua negara mengumumkan keputusan itu dalam kenyataan berasingan pada hari Rabu, berikutan pertemuan antara delegasi mereka di ibu pejabat Majlis Kerjasama Teluk Parsi (GCC) di Riyadh, Arab Saudi.

Semua negara yang mengenakan sekatan kembali memulihkan hubungan perdagangan dan perjalanan dengan Qatar pada awal 2021 namun pada masa itu, UAE menyatakan bahawa menyambung semula hubungan diplomatik akan mengambil masa lebih lama.

Hubungan antara Qatar dan UAE telah bertambah baik sejak Februari tahun lalu, apabila Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, bertemu dengan pemerintah UAE, Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan di luar acara di Beijing buat kali pertama sejak sekatan tamat. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button