Berita Utama

‘PAS Kedah tengah kuat, boleh kalau UMNO nak tumpang’

Tak pernah khianat, masih beri peluang kepada UMNO

PADANG TERAP, 16 Muharram 1444H, Ahad – PAS Kedah sentiasa terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan UMNO meskipun parti itu membuat keputusan untuk bertanding atau bergerak solo dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, jika UMNO mahu menjalinkan kerjasama, parti berkenaan boleh ‘menumpang’ kekuatan PAS di negeri itu.

Katanya, pihaknya tidak pernah mengkhianati UMNO dan masih memberi ruang kepada parti berkenaan walaupun terdapat kepemimpinan UMNO membuat keputusan untuk bergerak solo pada PRU15.

“Kita tidak buat apa-apa yang menyebabkan PAS dan UMNO di Kedah ini bergaduh. Apa yang kita berucap di Pilihan Raya Negeri Johor sebelum ini, itu dalam konteks negeri Johor.

“Malam ini saya sebutkan betapa baiknya PAS dalam hubungan dengan BN dengan UMNO. Kerana kita ada disiplin. Contohnya kita masih minta UMNO beri nama calon mereka untuk menggantikan Penyelaras DUN Kubang Rotan, Datuk Hashim Jahaya yang meninggal dunia (pada 7 Mei lalu).

“Mereka berikan nama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Dr Zaki Zamani Abd Rashid untuk ganti sedangkan kita boleh ganti dengan orang PAS atau Bersatu,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, Barisan Nasional (BN) kekal dengan keputusan untuk bergerak secara solo bagi menghadapi PRU15 nanti.

Beliau berkata, parti itu yakin mempunyai potensi untuk menang, namun perlu bekerja keras untuk meraih lebih banyak kerusi.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi memaklumkan PAS Kedah menyasarkan pertambahan jumlah bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi pada PRU15 di negeri ini kepada 22 berbanding 15 yang dimenangi mereka pada PRU lalu.

“Saya tambah jadi 22 (kerusi boleh dimenangi PAS Kedah), paling kurang 22 (daripada 15 kerusi dimenangi sebelum ini). Pada asasnya, PAS tengah kuat di Kedah, harimau (UMNO) yang kena tembak sedaih (sekali) rebah, lepas itu nak bangkit (bangun), dia tak sekuat dulu kalau dia nak lawanlah.

“Kalau dia nak berkawan, dia boleh tumpang kuat kita tu, dia nak lawan, saya rasa dia tak segagah dulu. Ada pelurulah dalam badan dia, kaki dia pun pecah tiga empat dah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button