Dunia

Berbulan ditutup, Shanghai buka semula sekolah 1 September

Wajibkan guru, pelajar buat ujian saringan setiap hari

SHANGHAI, 16 Muharram 1444H, Ahad – Shanghai – hab kewangan China – akan membuka semula semua sekolah termasuk tadika, sekolah rendah dan menengah pada 1 September ini, selepas penutupan selama berbulan-bulan ekoran wabak COVID-19.

Susulan langkah itu, semua guru dan pelajar wajib melakukan ujian saringan coronavirus setiap hari sebelum meninggalkan kawasan sekolah, kata Suruhanjaya Pendidikan Perbandaran Shanghai.

Selain itu, guru dan pelajar juga digesa menjalankan pengurusan kesihatan diri selama 14 hari sebelum pembukaan semula sekolah.

Shanghai menutup semua sekolah pada pertengahan Mac sebelum penutupan selama dua bulan di bandar itu bagi memerangi lonjakan penularan COVID-19 sekitar April dan Mei.

Pada Jun, beberapa pelajar sekolah menengah dibenarkan untuk kembali menyambung sesi pembelajaran secara bersemuka, manakala sebahagian yang lain perlu meneruskan pengajian di rumah untuk baki semester.

Pengumuman pembukaan semula sekolah memberi kelegaan kepada ramai penduduk, tatkala kebimbangan masyarakat terhadap perintah berkurung berterusan.

Ini kerana, China sebelum ini berikrar untuk berpegang kepada dasar sifar COVID-19 yang mewajibkan semua kes positif dan kontak rapat mereka menjalani kuarantin.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button