GTA wadah baharu untuk rakyat mengundi PRU15
Lawan ahli politik tak berintegriti dan penuh korupsi

BANGI, 16 Muharam 1444H, Ahad – Kewujudan parti-parti politik baharu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah pilihan alternatif rakyat dalam mengubah negara ke arah lebih baik.
Meskipun setiap parti politik mempunyai kekuatan tersendiri, semangat ‘parti kecil’ untuk melawan ‘parti besar’ hanyalah satu angan-angan jika terus bertembung sesama sendiri.
Atas dasar itu, Gerakan Tanah Air (GTA) – yang membabitkan beberapa parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), profesional dan ahli perseorangan – telah ditubuhkan
sebagai wadah baharu kesatuan politik.
Naib Presiden BERJASA, Abd Aziz Sardan berkata, tidak dinafikan pakatan parti-parti besar antara faktor kemenangan.
Bagaimanapun beliau yakin, gabungan parti-parti kecil juga mampu membawa impak yang besar.
“Gabungan inilah yang bakal menjadi pilihan alternatif rakyat Malaysia.
“Gabungan ini sentiasa terbuka menerima kunjungan parti-parti kecil yang lain serta NGO di luar sana.
“Tidak lain dan tidak bukan, untuk melawan ahli politik yang tidak berintegriti dan penuh korupsi,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan senario politik negara ketika kini umpama ‘mimpi buruk’ kepada rakyat Malaysia.
Ini berikutan, kerakusan pemimpin hari ini yang hanya sibuk mengaut keuntungan berbanding menjaga kemaslahatan rakyat.
“Pelantikan politik di jawatan strategik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terus mengeruhkan imej negara dengan korupsi yang berlaku.
“Ironinya, kita masih mengharapkan pemimpin korup untuk mengubah negara,” katanya.
GTA terdiri daripada empat parti tonggak iaitu BERJASA, Pejuang, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).
Gerakan itu dijangka bertanding di 120 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU15, di semua kerusi majoriti Melayu dan yang ditandingi UMNO, khususnya di Semenanjung Malaysia.