Berita Utama

Kewujudan Tun M tak gugat peranan anak muda GTA

Ambil pengalaman 'orang lama' teruskan legasi pimpin negara

BANGI, 16 Muharram 1444H, Ahad – Keberadaan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ‘orang lama’ bagi dunia politik tidak sesekali menundukkan peranan anak muda dalam Gerakan Tanah Air (GTA).

Sebaliknya, pengalaman yang dimiliki tokoh negara berusia 97 tahun itu akan diambil dan digunapakai untuk meneruskan legasi serta agenda yang digariskan sebelum ini bagi memimpin Malaysia.

Demikian jelas Ketua Pemuda BERJASA, Ustaz Fahmi Bazlan sebagai menjawab beberapa tuduhan dan naratif tidak tepat yang dibawa oleh masyarakat khususnya anak muda berkenaan GTA.

“(Mereka mendakwa) tiba-tiba kelibat Tun Mahathir wujud seolah-olah tidak nampak di mana mudanya (GTA). Pertamanya, kita kena ingat tiada yang muda jika tiada yang tua.

“Itu adalah lumrah alam, maksudnya tiada junior kalau tiada senior. Memang pengalaman penting, begitu juga orang-orang berpengalaman termasuk Tun Mahathir sendiri ia sangat diperlukan oleh anak muda,” katanya.

Beliau berkata, untuk menegakkan sebuah negara berdaulat yang gah dengan tamadun dan peradabannya mestilah membawa legasi atau warisan.

“Kalau sebuah keluarga mereka perlukan harta pusaka, ia datang dari mana kalau bukan keluarga, ibu ayah dan datuk nenek.

“Mana mungkin seorang anak muncul dalam hidup sudah ada harta, ada kemahiran dan pengalaman. Tidak akan ada generasi sebegitu yang datang mewarisi negara yang datang sedia ada untuk mereka,” katanya.

Katanya, kesemua yang dinikmati anak muda hari ini adalah datang daripada perjuangan serta pengorbanan ‘orang lama’.

Fahmi berkata, anak muda di dalam GTA bukanlah berfungsi menanggung kesilapan dan kesalahan orang lama, tetapi berperanan mengambil pengalaman mereka dan meneruskan legasi itu.

“Untuk kita mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang khususnya anak muda, ia perlu mewarisi sekali legasi dan juga misi objektif dan agenda yang jelas seperti Tun Mahathir gariskan sebelum ini meninggalkan visi wawasan 2020.

“Kalau kita di BERJASA, Malaysia Unggul 2040 dan Orde Baru Islam 2121. Itu adalah satu legasi, objektif besar yang digariskan oleh orang berpengalaman untuk digalas oleh anak muda,” katanya.

BERJASA kini berada dalam GTA, ia termasuk Pejuang, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Gerakan itu dijangka bertanding di 120 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU15, di semua kerusi majoriti Melayu dan yang ditandingi UMNO, khususnya di Semenanjung Malaysia.

GTA berhasrat membina semula negara demi kelangsungan kuasa orang Melayu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button